Cuti umum 25 Disember lalu dan hujung minggu terakhir musim cuti persekolahan 2013, menjadi detik paling sibuk bagi kebanyakan ibu bapa membuat persiapan untuk anak-anak.
Hampir semua gedung membeli-belah padat dengan golongan ibu bapa membawa anak membeli kelengkapan sekolah bagi sesi persekolahan tahun baharu yang bakal membuka tirai 2 Januari ini.
Situasi itu bukan perkara pelik malah ia boleh dilihat saban tahun ramai yang sengaja memilih saat-saat akhir membuat persiapan atas beberapa faktor dan sebab tersendiri.
Bagi seorang pengunjung, Nor Hazliza Ghazali, 36, masalah kesihatan dua anaknya Mohd Danish Harith Saiful Zahrin, 11 dan Danial Hakiqimie, 12, menjadi punca dia terlewat membuat persiapan.
“Secara kebetulan terjadi. Tak ada niat nak beli-belah saat akhir. Tapi anak-anak saya baru saja sihat. Jadi terpaksa jugalah membeli pada waktu-waktu begini," katanya.
Tinjauan di sekitar Shah Alam mendapati situasi sibuk terus dilihat di pusat beli-belah di sini.
Masing-masing sibuk memilih barangan keperluan sekolah anak-anak seperti pakaian, kasut dan peralatan tulis.
Mereka sanggup tersekat dalam kesesakan lalu lintas berjam-jam lamanya untuk mencari tempat letak kereta, dan bersedia pula bersesak-sesak di dalam premis pusat beli-belah.
Itu belum termasuk mendepani pelbagai ragam dan kerenah anak masing-masing yang mahu mendapatkan barangan yang dihajati.
No comments:
Post a Comment