Sebanyak 22 barangan diberi pengurangan harga antara lima hingga 20 peratus jika dibeli di 517 buah Pasar Tani di seluruh negara bermula hari ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Barangan tersebut ialah tomato, lobak merah, kobis, cili merah, timun, kacang panjang, sawi, bendi, cili padi, nanas, tembikai, pisang berangan, kelapa tua, bawang merah besar, ubi kentang, halia tua, ikan pelaling, ikan kembong, ikan cencaru, ikan selar, ikan selayang dan ayam.
Beliau berkata bagi pengurangan harga ikan yang dinyatakan itu, Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) juga mengambil inisiatif dengan memberi tiga pilihan harga kepada pengguna sama ada inginkan ikan segar tempatan, segar import atau sejuk beku.
“Sebagai contoh ikan kembong. Bagi yang segar tempatan, ia berharga RM13 sekilo, segar import RM9.50 sekilo dan sejuk beku RM8.50 sekilo,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program Jimat Belanja Dapur di Pasar Tani di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Tan Sri Badruddin Amiruldin dan Ketua Pengarah Fama, Datuk Ahmad Ishak.
Ismail Sabri juga mengarahkan Nekmat serta Fama supaya mengimport lebih banyak produk dari luar negara serta menjualnya dengan harga murah kepada pengunjung Pasar Tani.
Beliau menasihati pengguna supaya bersikap bijak dengan membeli barangan dapur di tempat yang ditawarkan harga murah seperti di Pasar Tani.
Mengulas mengenai kenaikan harga ikan, beliau berkata ia berlaku kerana musim tengkujuh yang menyebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut.
“Harga naik disebabkan berlaku permintaan melebihi penawaran. Di semua negara, bila berlaku teori ekonomi tersebut, harga barang akan naik,” katanya.
No comments:
Post a Comment