Nuffnang Ads

Tuesday, 31 December 2013

PTPTN nafi keluar arahan mansuh pinjaman

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) nafi mengeluarkan sebarang arahan untuk memansuhkan kutipan pinjaman seperti yang tersebar meluas di laman-laman web sejak tiga hari lalu.

Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, ada pihak yang mendakwa sebagai Kerajaan Empayar Langkasuka Nusantara telah mengeluarkan surat berkenaan pemansuhan bayaran balik pinjaman PTPTN untuk peminjam bermula 1 Februari depan.

Menurutnya, situasi ini mengelirukan peminjam seterusnya menjejaskan nama PTPTN sebagai agensi besar yang menyediakan dana pendidikan  kepada rakyat.

“Kita tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan berhubung pemansuhan bayaran balik pinjaman. Setiap dasar, polisi berkaitan PTPTN atau apa juga di bawah bidang kuasa pengurusan dan ahli lembaga yang melibatkan polisi kerajaan akan dibawa kepada Kabinet.

“Perkara ini kita telah maklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membuat siasatan terhadap isu ini dan siapa yang terlibat,” katanya ketika sidang media di RTM Ipoh,  semalam.

Beliau berkata, pihak yang terlibat diharapkan menarik balik apa yang dikeluarkan di media sosial sebelum tindakan tegas diambil.

Katanya, dalam pada itu perkara ini memberi kesan yang sama seperti yang pernah dilakukan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli yang menguar-uarkan mengenai pemansuhan bayaran PTPTN pada PRU tahun lalu sekiranya PR menang.

“Dalam tempoh tersebut, dilaporkan mengalami pengurangan kutipan bayaran.

"Malah ada dalam kalangan peminjam menunggu sehingga tamat PRU sebelum membuat pembayaran semula.

“Sehingga hari ini, PTPTN membelanjakan RM53.23 bilion kepada 2.34 juta peminjam. Walaupun perkara ini nampak remeh tetapi kita bertanggungjawab untuk mendapatkan bayaran semula supaya ia boleh diberikan semula kepada peminjam lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment