“Mereka (pembangkang) dakwa politik atau pentadbiran kerajaan ketika ini kotor tapi bagaimana mereka boleh membersihkan kekotoran tersebut sekiranya cara yang mereka gunakan pun juga kotor menerusi politik fitnah, politik emosi dan kebencian termasuk mengadakan demonstrasi haram untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih secara sah menerusi sistem demokrasi pilihanraya”, demikian pandangan Suzila Khamis, 22 yang ditemui pada Program Persidangan Isu Kebangsaan Generasi Y di sini, hari ini.
Beliau yang merupakan pelajar jurusan Kajian Hubungan Industri dan Buruh dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) seterusnya berkata cara politik kotor sedemikian bukanlah sesuatu yang sihat dan contoh yang baik kerana ia bakal mengundang implikasi yang tidak baik kepada suasana aman dan harmoni di negara ini.
“Contohnya seperti demonstrasi jalanan yang bagi saya hanya mencemarkan nama baik negara dan juga mengganggu hak asasi mereka yang lain. Sepatutnya mereka yang tidak puas hati dalam sesuatu isu perlu menggunakan saluran yang lebih tepat bagi menyuarakan luahan hati mereka.
“Justeru nasihat saya kepada mereka yang terlibat dalam gerakan himpunan demonstrasi jalanan terutama generasi Y, sebagai generasi pelapis kepimpinan negara, gunakanlah cara yang betul.
“Mereka yang mendakwa bahawa kononnya politik hari ini kotor sepatutnya menggunakan saluran yang betul dan bersih bagi menyuarakan pendapat mereka. Bagaimana kita mahu membersihkan politik hari ini yang didakwa mereka kotor, sekiranya kita juga menggunakan jalan yang kotor untuk menyatakan luahan hati kita,” tegasnya.
Program Persidangan Isu Kebangsaan Generasi Y anjuran Pertubuhan Generasi Pelapis Malaysia di PWTC di sini, hari ini bertujuan sebagai medium kepada Generasi Y untuk berbahas dan berbincang tentang isu-isu kebangsaan secara intelektual berdasarkan fakta-fakta dan statistik daripada sumber yang sahih.
Persidangan sehari itu dihadiri hampir 1,000 pelajar antaranya dari Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta. Selain perbahasan topik persidangan itu juga turut mengadakan forum yang membahaskan isu GST dan Pemansuhan Pinjaman PTPTN.
Semenentara itu bagi Putra Abdul Hakim,21, pelajar jurusan Pengurusan Perniagaan dari Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Terengganu, pendekatan politik pembangkang hari ini lebih banyak menjurus kepada fitnah terhadap pemimpin negara dan ia merupakan contoh berpolitik yang tidak baik bagi generasi muda hari ini.
“Seperti contohnya perhimpunan pada malam sambutan tahun baru yang dianjurkan oleh pihak pembangkang baru-baru ini, bagi saya ia merupakan pendekatan politik yang tidak sihat dan boleh membawa golongan remaja seperti saya, ke kancah keganasan yang boleh menjejaskan masa depan remaja itu sendiri.
“Banyak unsur-unsur dan budaya negatif dari luar yang cuba diterapkan oleh pembangkang yang tidak sesuai dengan adat dan budaya kita sebagai rakyat Malaysia. Saya harap agar generasi remaja hari ini jangan terikut-ikut budaya politik fitnah dan kebencian yang dibawa oleh pemimpin pembangkang yang akan merosakkan keharmonian dan masa depan negara,” ujarnya.
Pendapat yang sama turut dikongsikan pelajar dari jurusan Sains Komputer dari UiTM Pahang, Abdullah Ahmad, 21, di mana pendekatan politik kebencian yang diperlihatkan oleh kepimpinan pembangkang tidak dapat membawa manfaat kepada negara bahkan menyebabkan permusuhan dan perpecahan di kalangan rakyat di negara ini.
“Jika inilah pendekatan yang dibawa oleh pembangkang, maka perpaduan rakyat di negara ini akan hancur. Sebagai generasi pelapis, kami tak mahu mewarisi sebuah negara yang berpecah belah. Perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini amat penting bagi memastikan negara kita terus aman dan makmur sepertimana yang kita kecapi hari ini,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment