Nuffnang Ads

Tuesday 31 December 2013

Kerajaan tetap akan tunai janji manifesto

Kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap akan menunaikan segala janjinya kepada rakyat seperti terkandung dalam manifesto BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri.

Beliau berkata, meskipun negara berhadapan dengan cabaran getir suasana ekonomi dunia tidak menentu yang boleh mempengaruhi ekonomi Malaysia, kerajaan BN tetap akan menunaikan janji dalam manifestonya demi menjaga kebajikan rakyat.

"Cabaran paling getir ialah mengurangkan tahap defisit ekonomi negara ke tahap munasabah iaitu dua hingga tiga peratus berbanding lima hingga enam peratus sekarang.

"Defisit negara yang tinggi adalah gambaran ekonomi yang tidak sihat yang akan menjejaskan penarafan negara dan akan mengekang kebolehupayaan negara mendepaninya sekiranya krisis ekonomi berlaku," katanya.    

Abdul Rahim yang juga Anggota Parlimen Kudat berkata demikian ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di Dewan Futsal Kampung Pitas, di sini, yang dihadiri kira-kira 350 orang.

Beliau berkata antara usaha untuk menambahkan hasil kerajaan ialah meningkatkan pungutan hasil selain rasionalisasi subsidi supaya bebanan wang kerajaan dapat dikurangkan.

"Kesemua langkah-langkah ini memberikan kesan renjatan negatif yang minima dalam jangka pendek kepada rakyat. Adalah lebih baik kita berwaspada dan berkorban sedikit sekarang daripada berhadapan pelbagai masalah di masa akan datang seperti yang berlaku kepada kebanyakan negara barat," katanya.

Sehubungan itu, Abdul Rahim mengingatkan rakyat supaya tidak tepedaya dengan hasutan pembangkang berkaitan langkah-langkah penjimatan dan kawalan ekonomi kerajaan itu kerana dalam apapun situasi, kerajaan akan sentiasa sensitif kepada kebajikan dan rungutan rakyat.

"Golongan menengah dan rendah tidak akan terjejas kerana kerajaan telah menyediakan jaringan keselamatan untuk rakyat melalui pelbagai inisiatif.

Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) akan ditambah tahun ini kepada RM650 dengan jumlah penerima yang bertambah kepada hampir tujuh juta orang," katanya. 

No comments:

Post a Comment