Keharmonian masyarakat berbilang kaum dan kepelbagaian agama, fahaman serta anutan perlu dipelihara oleh semua rakyat di negara ini bagi memastikan kestabilan yang dinikmati hasil perjuangan kepimpinan terdahulu dapat terus dinikmati.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Zahida Zarik Khan berkata untuk membina kehidupan sebuah institusi masyarakat yang harmoni dan bertolenrasi antara satu sama lain walaupun membabitkan mereka yang datang dari kepelbagaian kaum, agama dan dan fahaman, bukan suatu perkara yang mudah.
Sebaliknya jelas beliau untuk meruntuhkannya adalah suatu yang mudah dan mampu dilakukan dalam sekelip mata sahaja sehingga menyebabkan apa yang dibina selama ini musnah begitu sahaja dan yang tinggal hanya pautan sejarah.
“Untuk memastikan apa yang kita nikmati ini berkekalan, kita perlu ada sikap tolenrasi dan tolak ansur antara satu sama lain dan sesuatu yang menyentuh sensitiviti kepada masyarakat berbilang kaum dan agama perlu dihindari dan diselesaikan dengan cara yang baik.
“Jangan kita runtuhkan nikmat kehidupan yang dinikmati oleh rakyat sejak merdeka dahulu musnah disebabkan oleh rasa tidak puas hati di kalangan sesuatu pihak. Untuk itu perlu ada hormat menghormati antara satu sama lain amat penting dalam apa jua perkara.
“Elakkan daripada menimbulkan sesuatu yang boleh merumitkan cara hidup bermasyarakat sehingga menimbulkan suatu suasana yang tidak sihat sesama kita,” katanya.
Zahida menyifatkan teguran Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew menghormati keputusan mahkamah berhubung isu kalimah Allah adalah untuk mengingatkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang aman yang didiami oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama.
“Ramuan yang diberikan oleh Tun Mahathir untuk memastikan negara ini terus aman adalah menjaga sensitiviti antara kaum dan agama, dan semua pihak harus bersetuju dengan apa yang dikatakan.
“Seperti apa yang dinyatakan Tun Mahathir, apa yang diputuskan oleh mahkamah dan undang-undang harus dipatuhi oleh semua pihak, kehidupan yang tidak mempunyai peraturan dan undang-undang boleh mengakibatkan kacau bilau, apakah kita mahu perkara sebegitu berlaku di negara ini,” katanya.
Beliau yang juga Naib Ketua Puteri UMNO melahirkan kesyukuran dan terima kasih kepada pemimpin-pemimpin terdahulu yang telah berjuang untuk membina negara ini seperti apa yang dinikmati sekarang.
“Semua pihak perlu mengelak daripada mencetuskan sesuatu perkara yang menyentuh mana-mana pihak kerana ianya boleh mendatangkan keburukkan.
“Kepada generasi muda, janganlah mudah untuk terpengaruh dengan apa jua perkara yang boleh merosakkan negara, fikir dan renung apa yang kita nikmati sekarang adalah perjuangan mereka yang terdahulu.
“Dan sebagai generasi pelapis, kita seharusnya mempertahankan apa yang dinikmati bukannya cuba memusnahkannya disebabkan terpengaruh dengan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang sememangnya tidak senang dengan apa kestabilan dan kesejahteraan negara kita,” katanya.
Zahida berkata generasi muda seharusnya bersama-sama mempertahankan bukannya untuk meruntuhkan dan berfikirlah sebelum bertindak.
No comments:
Post a Comment