Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata rancangan untuk menghimpun rakyat untuk berarak di jalanan pada malam 31 Dis ini adalah satu perbuatan yang sia-sia serta membuang masa dan tenaga.
Beliau yang juga Menteri Penerangan Komunikasi dan Multimedia berkata negara mempunyai sistem iaitu Parlimen untuk menyatakan ketidakpuasan kepada kerajaan selain melalui media massa kerana kerajaan bersedia mendengar dan memberi penjelasan sebenar kepada rakyat.
“Saya rasa yang pergi itu (sertai perhimpunan) akan membuang tenaga…kita ada sistem Parlimen, mereka boleh bersuara dalam Parlimen, dalam media massa dan sebagainya, kerajaan sedia mendengar, kita akan sesuaikan (keperluan orang ramai)…kita jelaskan,” katanya selepas program bantuan sekolah kepada mangsa banjir di Kemaman di sini hari ini.
Beliau berkata adalah lebih baik masa dan tenaga itu digunakan untuk membantu mangsa banjir di beberapa negeri baru-baru ini kerana ia lebih berfaedah daripada membuat bantahan di jalanan.
Menurutnya, kerajaan kasihan kepada sesetengah rakyat yang telah ditipu pembangkang sehingga sanggup berhimpun di jalanan dan kali ini sekali lagi rakyat cuba ditipu semata-mata untuk mencapai cita-cita politik mereka.
Himpunan guling kerajaan itu dirancang diadakan pada Selasa malam di Dataran Merdeka di ibu negara oleh badan bukan kerajaan, disebarkan melalui laman social Facebook dan Twitter.
Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata kementeriannya akan berusaha untuk memberi setiap keluarga mangsa banjir seunit televisyen dan barangan lain seperti peti sejuk yang kini merupakan antara barang keperluan dan bukan lagi lambang kemewahan.
“Dalam sistem telekomunikasi, televisyen bukan sesuatu yang mewah tetapi keperluan untuk orang dapatkan maklumat dan sebagainya. Dulu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) beri komputer 1Malaysia, dalam konteks sekarang kita bagi televisyen,” katanya.
Beliau berkata pihak SKMM akan cuba mengagihkan set televisyen tersebut secepat mungkin dengan anggaran keseluruhan ialah kira-kira 30,000 unit untuk mangsa banjir di Terengganu dan Pahang.
“Satu keluarga satu, cuba dalam masa sebulan, stok yang ada kualiti, munasabah untuk 30,000 keluarga,” katanya.
Pada majlis hari ini, Yayasan Al-Bukhary dan beberapa NGO termasuk Kelab Putera 1Malaysia dan Puteri UMNO menyampaikan bantuan pakaian dan beg sekolah kepada 3,839 pelajar sekolah rendah dan menengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik, DUN Kijal dan DUN Chukai manakala esok pula kepada 4,733 penerima di DUN Air Putih.
Sementara itu, Ahmad Shabery berkata pemberian insurans kepada penjawat awam yang terjejas banjir boleh membantu meringankan beban mereka yang telah banyak kerugian harta benda.
No comments:
Post a Comment