Nuffnang Ads

Monday 30 December 2013

HORMATILAH PERLEMBAGAAN NEGARA

ISU anggota Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu dan merampas 351 salinan Bible versi bahasa Melayu yang mengandungi kalimah ALLAH daripada Persatuan Bible Malaysia (BSM) Khamis lalu nampaknya belum reda.

Persoalannya, kenapakah selepas 57 tahun merdeka baharu sekarang kita mendengar pihak Kristian menuntut untuk mengedarkan Bible versi Melayu di Semenanjung Malaysia?

Mengapa pihak BSM begitu angkuh mahu gunakan kalimah ALLAH di Selangor sedangkan Mahkamah Persekutuan belum pun bersidang bagi membuat keputusan muktamad mengenainya? Siapa sebenarnya dalang di sebalik isu ini?

Memang sejak akhir-akhir ini terlalu banyak isu yang menguji keampuhan perpaduan kaum dan berbilang agama dalam negara. Malah sudah mulai kedengaran suara-suara sumbang yang cuba mempertikaikan pelbagai perkara fundamental, termasuk kedudukan dan keistimewaan agama Islam dalam perlembagaan.

Semacam keistimewaan yang dipertahankan oleh Perlembagaan negara sejak lebih lima dekad lalu kini tidak lagi relevan dan perlu dimansuhkan.

Harus diingat, kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah suatu yang tidak sesekali boleh dikompromikan. Malah hak dan keistimewaan ini seharusnya tidak wajar dipertikaikan oleh mana-mana pihak walaupun baharu mendapat sedikit kuasa politik daripada rakyat.

Ternyata tindakan Persatuan Bible Malaysia yang meneruskan penyebaran Bible tersebut bukan sahaja membelakangkan titah DYMM Sultan Selangor yang melarang penggunaan kalimah ALLAH bagi bukan Islam, tetapi seolah-olah mahu mencabar kedaulatan agama Islam sebagaimana terkandung dalam perlembagaan.

Hakikat yang harus difahami Enakmen Selangor ini hanyalah cerminan kepada peruntukan yang terkandung dalam Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang secara jelas melarang pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam.

Seharusnya tidak perlu rasa bersalah atau marah apabila penguat kuasa melaksanakan tugas mereka berasaskan peruntukan undang-undang.

Sering kali apabila isu-isu yang menyentuh hak Bumiputera mahupun kedudukan Islam dalam perlembagaan ini ditimbulkan, maka gambaran yang cuba dicanang oleh segelintir ahli politik berkepentingan, seolah-olah ia satu dasar zalim dan bersifat menindas.

Peruntukan yang memberi keistimewaan kepada Islam sebagai agama tertinggi negara didakwa tidak adil kerana semua agama tidak diperlakukan secara serupa.

Pandangan Islam mengenai prinsip keadilan adalah jelas. Keadilan tidak bermaksud kesamarataan. Contoh dalam konteks agama Islam, keadilan tidak sekali-kali bermakna agama lain harus diberi kedudukan atau status sama rata.

Sebaliknya keadilan bermaksud meletakkan sesuatu di tempatnya, tentulah sewajarnya memposisikan Islam pada kedudukan tertinggi sebagaimana dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun Islam diletakkan pada kedudukan tertinggi dalam perlembagaan, namun ia tidak sesekali menafikan hak kebebasan beragama masyarakat bukan Islam di negara ini.

Malah, tidak keterlaluan kita katakan Malaysia antara negara paling subur dalam aspek amalan kepelbagaian agama. Lihat sahaja mercu-mercu agama di negara ini.

Malaysia terkenal dengan  patung Hindu tertinggi di Batu Caves Selangor, Patung Buddha yang terbesar di Tumpat Kelantan dan Gereja terbesar di Bukit Jalil. Malah tidak ada negara isytihar cuti umum bagi setiap upacara pelbagai agama seperti Malaysia.  

Namun harus difahami bahawa kebebasan beragama bukan bermakna kebebasan bagi agama lain untuk disebarkan. Perlembagaan Persekutuan secara jelas melarang pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam.

Bahkan sub-sekyen dalam Perkara 11(4) membenarkan mana-mana negeri untuk membuat undang-undang kawalan pengembangan kepercayaan agama bukan Islam kepada orang bukan Islam.

Ini merupakan sebahagian daripada keistimewaan yang dijamin ketika pembentukan Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan kedudukan Islam sebagai agama tertinggi negara tidak diganggu-gugat.

Justeru, untuk memastikan keutuhan perpaduan rakyat dan keharmonian negara terus kekal bertahan, amat memerlukan setiap warga menghormati perlembagaan negara.

No comments:

Post a Comment