Nuffnang Ads

Thursday, 26 December 2013

Bukan salah Umno kos sara hidup meningkat

Rakyat tidak seharusnya menuding jari kepada Umno mengenai kenaikan harga barangan keperluan serta kos sara hidup, kata Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang berkata, kenaikan tersebut merupakan perkara yang tidak dapat dielak oleh mana-mana kerajaan yang memerintah.
Malah, katanya, rakyat perlu memahami serta cuba menerima perubahan situasi tersebut dari semasa ke semasa disebabkan faktor ekonomi dunia tidak menentu.

"Itu kita tak boleh elak, nak marah pada Umno sebab apa, kalau marah pada Umno harga tidak boleh turun...kos hidup (tidak boleh turun)...jadi jangan terlalu emosional.

"Kita minta masyarakat memahami kenapa kos ni naik, kenapa pengurangan subsidi itu terpaksa kita buat, demi untuk menjaga keadaan ekonomi negara," katanya kepada pemberita ketika ditanya apakah Umno sebagai tunjang kerajaan akan disalahkan berikutan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup.

Terdahulu Isa merasmikan majlis graduasi sesi 2/2013 Kolej Yayasan Felda di Menara Felda di sini, hari ini.

Katanya, rakyat perlu bersikap rasional bukannya emosional memandangkan kerajaan mengambil langkah proaktif bagi menjaga kestabilan ekonomi negara untuk kebaikan generasi akan datang.

Ditanya mengenai Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang memberi amaran akan menggantikan Umno jika Umno gagal mempertahankan hak Melayu dan Bumiputera di negara ini, Isa berkata Perkasa tidak berhak mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana nasib pertubuhan itu sendiri selama ini dibela Umno.

Media baru-baru ini melaporkan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali semasa Persidangan Agung Perkasa ke-4 mendakwa Umno menunjukkan banyak kelemahan dan “tidak bertaring” dalam mempertahankan hak Melayu.

Isa menganggap kenyataan tersebut berbaur emosi serta tidak rasional kerana tanggungjawab menjaga kepentingan Melayu yang digalas Umno selama ini bukan suatu tugas mudah.

"Ini suatu pandangan yang terlalu emosi kerana nak ambil alih Umno itu bukan satu benda yang mudah. Saya percaya mungkin dia (Ibrahim) dalam keadaan yang terlalu emosi," katanya.

Menyentuh cadangan Perkasa yang mahu menyediakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada Umno, Isa berkata ia perlu mengambil kira semua aspek kerana keadaan ekonomi bukan kuasa Umno dan menteri kabinet.

Katanya, mana-mana pihak harus memahami situasi dan kesukaran yang dihadapi kerajaan sebelum menilai atau menjatuhkan hukuman. 

No comments:

Post a Comment