Pesta yang menjuruskan ke arah kemaksiatan patut dihentikan ketika sambutan tahun baharu dan perlu digantikan dengan acara keagamaan.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, adalah lebih baik kerajaan menyarankan semua penganut agama seluruh negara mengadakan upacara keagamaan di rumah ibadat masing-masing seperti yang dilaksanakan oleh perdana menteri pertama.
“Pada zaman Tunku Abdul Rahman (Al Haj), beliau meminta supaya setiap kali malam sambutan tahun baharu, penganut agama masing-masing berdoa untuk kesejahteraan dan keamanan negara daripada malapetaka dan bencana alam.
“Tapi sekarang, pesta maksiat yang diadakan bagi sambutan tahun baharu, ini yang menyedihkan. Sekiranya dapat dilaksanakan perkara tersebut, mungkin kegiatan maksiat dapat dielakkan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Kata beliau, walaupun sebelum ini kerajaan pernah mengadakan program ceramah agama pada setiap kali malam tahun baharu, namun malangnya tidak mendapat sambutan.
“Ini masanya kita pupuk kembali apa yang telah kita tinggalkan supaya dapat mengembalikan suasana sambutan tahun baharu yang lebih keagamaan.
“Ajar rakyat supaya mereka lebih mendekatkan diri dengan keagamaan supaya mereka tidak terlalu terdedah dengan aktiviti maksiat,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan supaya bertemu dengan ketua semua agama dan mengarahkan mereka mengadakan program keagamaan di rumah ibadat masing-masing.
“Sekiranya kerajaan serius rasanya boleh berbincang perkara ini dengan ketua agama masing-masing. Kita juga menunggu berita yang menggembirakan supaya tiada lagi pesta maksiat.
“Kalau mahu pun untuk menyambut tahun baharu, mungkin tidak perlu sambutan yang melalaikan kerana akan mendekatkan dengan perkara yang tidak baik,” kata beliau.
No comments:
Post a Comment