Nuffnang Ads

Monday, 30 December 2013

Himpunan Guling Kerajaan Tidak Akan Selesai Masalah Rakyat – Ali Rustam

Himpunan Guling Kerajaan yang dirancang pada malam Sambutan Tahun baharu Selasa depan tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat pada masa ini, kata Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Anggota Dewan Negara itu berkata sebaliknya, mereka yang tidak berpuas hati dengan isu seperti kenaikan harga barang dan tarif elektrik perlu menyalurkan bantahan mereka melalui saluran yang betul seperti menghantar nota bantahan, mengadakan forum atau pertemuan dengan pemimpin terbabit.
Beliau berkata media arus perdana dan media baharu boleh digunakan rakyat untuk menyuarakan bantahan dengan jelas, malah media sosial juga boleh digunakan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati secara terus tentang sesuatu isu kepada pemimpin negara.
“Dengan adanya segala saluran ini di hujung jari, tiada sebab untuk guna demonstrasi haram untuk menyuarakan bantahan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, Mohd Ali, yang diiringi Pendekar Negara Tan Sri Omar Din Mauju
dan kira-kira 50 anggota Pesaka, membuat laporan di Balai Polis Kandang bagi membolehkan polis menyiasat penganjuran perhimpunan berkenaan.
Di KOTA KINABALU, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Sabah menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas bagi menghalang penganjuran Himpunan Guling Kerajaan pada 31 Dis ini.
Ketua Pergerakan Wanita Umno bahagian Kota Kinabalu Ruhsimah Zakaria berkata pihak polis juga diminta bertindak ke atas penulis laman blog atau media sosial yang mempromosi perhimpunan berkenaan.
“Kami menyokong sebarang tindakan undang-undang ke atas mereka yang terlibat dalam perhimpunan itu mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Karamunsing pada kira-kira 3 petang.
Ketua Puteri Umno Sabah Normala Rasik, yang membuat laporan di balai polis sama, pula mengecam sebarang tindakan tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu yang mengajak rakyat ke jalanan.
Beliau berkata usaha itu langsung tidak mencerminkan jati diri rakyat negara ini, khususnya Sabah, yang mencintai keamanan dan keharmonian.
Sementara itu, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian Sepanggar yang diketuai Ketua Wanita bahagian berkenaan Datuk Jainab Ahmad Ayid membuat laporan sama di Balai Polis Menggatal.
Jainab, yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna
Sabah, berkata rancangan itu dianggap tidak munasabah serta bertentangan dengan amalan demokrasi negara ini.

No comments:

Post a Comment