Nuffnang Ads

Tuesday, 10 December 2013

Perbincangan Dengan PKR Hanya Buang Masa – Annuar Musa

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Musa secara peribadi berpandangan bahawa sebarang perbincangan antara Barisan Nasional (BN) dan Parti keadilan Rakyat (PKR) sebenarnya tidak begitu relevan dalam situasi politik hari ini.
Menurut beliau, ini adalah disebabkan perjuangan PKR, terutamanya perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah lebih bersifat penentangan dan agenda peribadi, manakala UMNO pula tidak ada perkara yang mahu dibincangkan berhubung perjuangan peribadi sesiapa.
“Ini berbeza apabila kita menyebutkan tentang perlunya ada perbincangan antara UMNO dan Pas, bagi pendapat saya Pas adalah sebuah parti yang lebih berwibawa untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO.
“Pertamanya adalah kerana Pas merupakan parti yang kedua terlama selepas UMNO, sejak dari tahun 1959 sehingga ke hari ini. Selain itu, ada perkara-perkara dasar terutamanya yang membabitkan soal agama yang sememangnya menjadi teras perjuangan Pas sepertimana ia juga menjadi teras perjuangan UMNO.
“Oleh kerana kedua-duanya mempunya teras perjuangan atas kepentingan agama dan UMNO ada pendekatannya tersendiri, begitu juga dengan Pas, barangkali muzakarah atas prinsip demi kepentingan agama mungkin satu perkara yang patut kita adakan dengan penuh semangat keterbukaan,” ujarnya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat kenyataan mahu mengadakan perbincangan bersama kepimpinan BN seperti yang tersiar di sebuah portal berita pro pembangkang  baru-baru ini.
Sementara itu katanya lagi, PKR merupakan sebuah parti yang  tidak mempunyai sebarang ideologi,  penentangannya terhadap UMNO dan kerajaan pula hanya bersifat penentangan semata-mata tanpa sebarang agenda nasional, maka justeru itu beliau tidak fikir PKR mempunyai cukup kewibawaan untuk berunding dengan BN.
“Malah adalah lebih baik bagi anggota-anggota PKR untuk menyertai BN seperti mana yang dilakukan oleh rakan-rakan mereka di Sabah. Tetapi kalau nak wujudkan kerjasama misalnya, kalau ditakdirkan ada kerjasama, lebih baik UMNO bekerjasama dengan Pas.
“Dan bagi saya, perpaduan orang Melayu yang juga merupakan perpaduan umat Islam boleh diselesaikan apabila UMNO dan Pas dapat mencapai kata sepakat. Sementara PKR, mereka adalah parti yang terdiri daripada pelbagai kaum di mana dasar partinya pula tidak jelas. Jadi saya rasa tidak perlu kita membuang masa untuk berurusan dengan PKR,” akhirnya.

No comments:

Post a Comment