Nuffnang Ads

Thursday, 26 December 2013

Saran rakyat jaga kestabilan, keamanan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak meminta agar rakyat menjaga kestabilan, keamanan dan keharmonian negara yang didiami pelbagai kaum dan agama.

Menurutnya, bagi menjaganya, rakyat perlu mencari titik persamaan antara satu sama lain tanpa membezakan agama dan bangsa.

“Ketiga-tiganya (keharmonian, kestabilan dan keamanan) diibaratkan seperti oksigen. Jika ada, kita tidak menyedari kepentingannya namun apabila ia hilang, baharu kita tahu betapa pentingnya ia. Meskipun kita berbeza dari segi akidah tetapi kalau kita sentiasa berbalah atas perkara ini,  maka akan merenggangkan sesebuah hubungan.

“Daripada memilih jalan yang akan membawa kepada kerenggangan lebih baik mencari titik pertemuan. Ini tanggungjawab saya sebagai perdana menteri perlu memahami sensitiviti antara satu sama lain,” katanya dalam ucapan di Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2013 di Padang Kota, semalam.

Najib berkata, Malaysia boleh kekal aman sekiranya semua rakyatnya menghormati antara satu sama lain.

“Daripada cari jalan membawa kepada kesengsaraan, kenapa kita tak cari jalan yang membawa kepada titik pertemuan sesama kita. Kita boleh sama-sama kekalkan keamanan dan kestabilan negara.

“Saya tidak suka kepada ‘argument’ (perselisihan), saya lebih suka memberi tumpuan kepada mengekalkan keamanan, keharmonian dan kestabilan.

"Konsep rumah terbuka ini bukan sekadar suka-suka saja sebaliknya berkongsi kegembiraan dan peluang untuk bersama-sama tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya.

Menurutnya, semangat perpaduan yang kukuh adalah pra syarat penting kepada kejayaan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

“Kerajaan mengakui akan memanfaatkan sambutan perayaan setiap kaum untuk memperkukuhkan lagi semangat perpaduan, muhibah dan harmoni yang sememangnya sinonim dalam konteks kepelbagaian budaya dan etnik dalam negara,” katanya.

Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2013 anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di Padang Kota, menyediakan pelbagai program termasuk Karnival Pameran dan Demonstrasi sejak jam 10 pagi.

No comments:

Post a Comment