Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan hari ini menyelar sikap kepimpinan DAP yang secara jelas memperlihatkan ideologi cauvinis dan rasis berdasarkan kenyataan dan tingkah laku kepimpinan mereka selama ini.
Namun menurut beliau, DAP cuba menyembunyikan sikap sebenar mereka itu dengan meletakkan seorang dua ahlinya berbangsa Melayu dan lain bangsa di dalam pentadbiran tertinggi DAP, semata-mata untuk mengelabui mata rakyat bagi membenarkan dakwaan bahawa DAP merupakan parti untuk berbilang bangsa.
“Kita boleh lihat bagaimana pentadbiran mereka hari ini di Pulau Pinang di mana DAP lebih mementingkan satu kaum saja manakala bangsa-bangsa lain tidak diberikan perhatian yang sewajarnya dan sama adil.
“Jelas mereka mempergunakan kuasa yang diberikan oleh rakyat untuk menyenangkan dan memihak kepada satu kaum saja, serta meminggirkan dan tidak mengambil peduli nasib bangsa lain di bawah pemerintahan mereka, seperti mana yang berlaku di Pulau Pinang hari ini,” ujarnya di sini hari ini.
Bahkan, kepimpinan DAP tidak segan-segan untuk memperlihatkan sikap mereka yang rasis serta suka menghina bangsa lain, melalui kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh kepimpinan mereka selama ini.
“Sudah berapa banyak kali kepimpinan DAP membuat kenyataan yang menghina, malah mereka tidak teragak-agak untuk mencemuh dan menghina Islam sebagai agama persekutuan di negara ini, tanpa memikirkan perasaan umat Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa di negara ini.
“Begitu juga yang terbaru, salah seorang kepimpinan mereka dengan selamba menghina penjawat awam dengan menyifatkan mereka seperti kucing kurap. Inilah perlakuan rasis, cauvinis, angkuh dan sombong yang diperlihatkan oleh kepimpinan DAP setelah diberi kuasa. Itu baru negeri, belum lagi mereka memerintah negara,” tegasnya.
Seterusnya beliau menyifatkan bahawa DAP merupakan sebuah parti hipokrit yang hanya memperjuangkan nasib satu kaum saja, namun sedaya upaya cuba membohongi rakyat dengan mendakwa bahawa parti itu terbuka untuk membela nasib semua kaum.
“Kita boleh lihat di dalam DAP, hanya ada dua dinasti keluarga saja yang berkuasa menentukan segalanya. Dinasti Lim dan dinasti Karpal. Siapa saja yang cuba menyanggah, atau menyatakan pendirian yang berbeza dengan dua dinasti ini, mereka akan terkeluar ataupun di keluarkan dari DAP.
“Apa yang jelas, kepimpinan DAP yang dikuasai oleh dua dinasti keluarga beridoelogikan rasis dan cauvinis ini hanyalah menggunakan parti itu untuk agenda peribadi mereka saja, hanya untuk membela nasib kaum-kaum tertentu saja, dan mereka tidak teragak-agak untuk merendah, menghina serta bersikap acuh tak acuh untuk membela nasib kaum lain yang ada di negara ini,” akhiri beliau.
No comments:
Post a Comment