Kehadiran 98 muka baharu yang berbeza latar belakang pendidikan dan pengalaman pada persidangan Dewan Rakyat tahun ini ternyata menambah warna sepanjang mesyuarat penggal pertama Parlimen ke-13 itu.
Mesyuarat pertama yang bermula pada 24 Jun seusai negara mengadakan Pilihan Raya ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lalu bermula dengan upacara angkat sumpah 222 anggota Parlimen yang menampilkan 54 wakil rakyat baharu dari pihak kerajaan manakala 44 dari gabungan pembangkang.
Berbanding dengan persidangan sebelumnya, tahun ini tidak ada anggota Parlimen ‘tidak berparti’ (Bebas) dipilih sebagai wakil rakyat.
Pada PRU13, Barisan Nasional (BN) gagal memperoleh majoriti dua pertiga apabila memenangi 133 kerusi berbanding pilihan raya 2008 iaitu 140 kerusi manakala pembangkang memperoleh 89 kerusi berbanding 82 kerusi pada PRU lepas.
Walaupun komposisi pembangkang semakin bertambah, pihak kerajaan yang dibarisi muka baharu dan lama serta pelantikan beberapa menteri dan timbalan menteri baharu terus teguh mempertahankan dasar kerajaan dan tegas memperjuangkan nadi rakyat di dewan yang mulia itu.
Belum pun persidangan bermula, pihak pembangkang sudah berdrama apabila ingin memboikot upacara angkat sumpah sebagai tanda protes terhadap keputusan PRU13 yang memihak kepada BN.
Mereka menganjurkan Perhimpunan 505 beberapa hari sebelum upacara itu bagi menentang keputusan PRU13, bagaimanapun perhimpunan yang dikatakan aman bertukar ganas apabila sekumpulan peserta perhimpunan merempuh kawalan polis di hadapan bangunan Parlimen ketika acara itu berlangsung menyebabkan 32 individu ditahan.
Ibarat cakap tidak serupa bikin, 89 wakil rakyat pembangkang hadir di Parlimen dengan berpakaian rasmi lengkap diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat. Beliau turut dilantik semula sebagai ketua pembangkang.
Drama mereka berterusan ketika pemilihan Speaker Dewan Rakyat selepas berakhirnya upacara angkat sumpah apabila Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) mempersoalkan kewajaran pemilih yang dikehendaki menulis nama mereka pada kertas undian.
Walaupun ada yang tidak puas hati dalam kalangan pembangkang, Tan Sri Pandikar Amin Mulia tetap dipilih semula sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat selepas mengatasi Datuk Abdul Kadir Sulaiman yang dicadangkan pembangkang dan anggota Parlimen Beluran Datuk Ronald Kiandee serta anggota Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed sebagai timbalannya.
Gelagat para anggota Parlimen tahun ini juga dapat dilihat lebih lama menerusi siaran langsung di televisyen apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) menambah masa siaran selama satu jam bermula 10 pagi setiap hari berbanding 30 minit sebelum ini.
Bagi pembangkang, mereka mempertaruhkan muka baharu yang menjadi ‘ayam sabung’ antaranya Mohd Rafizi Ramli (PKR-Pandan), Mohamed Hanifa Maidin (PAS-Sepang) Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu), Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil) dan N. Surendran (PKR-Padang Serai).
Akibat terlalu lantang bersuara, Surendran menerima padah setelah diarahkan keluar dewan dua kali sebelum digantung selama enam bulan kerana membuat tuduhan liar terhadap Pandikar Amin ekoran usul beliau ditolak Speaker.
Bagi pihak BN pula, walaupun tanpa suara lantang bekas anggota Parlimen Seri Gading Datuk Mohamad Aziz dan beberapa wakil rakyat ‘otai’ yang kini dinaikkan pangkat sebagai menteri dan timbalan menteri, peranan seluruh barisan kerajaan gandingan lama dan baharu itu tetap berusaha menegaskan dasar dan tindakan kerajaan serta menangkis hujah negatif dan tohmahan pembangkang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang baharu Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) yang juga memegang portfolio Parlimen ternyata masih seperti dulu, sentiasa lantang dalam menangkis serangan pembangkang.
Beberapa nama seperti Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Seri Jamaluddin Jarjis (BN-Rompin), Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas), Datuk Noh Omar (BN-Tanjong Karang) dan Datuk Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) juga berjaya memainkan peranan masing-masing sebagai pertahanan BN di Dewan Rakyat.
Beberapa menteri dan timbalan menteri juga menunjukkan keupayaan terbaik ‘mematahkan’ dakwaan dan menjawab isu yang dibangkitkan anggota pembangkang senior seperti jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar kepada Anwar berhubung statistik kadar pengangguran di negara ini bersandarkan pengalamannya berkhidmat di sektor swasta dan bukannya sekadar membaca jawapan yang disediakan pegawai.
Warna sebenar Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching yang merupakan bekas pengetua dan pendidik berpengalaman luas turut terkeluar apabila sentiasa memperlihatkan sikap serius dan tegas serta tidak ‘memberi muka’ kepada anggota Parlimen yang dilihat tidak berminat untuk mendengar atau mempertikaikan jawapannya ketika sesi soal jawab.
Ketika sesi perbahasan, pembangkang terus-menerus melahirkan rasa tidak puas hati dengan keputusan PRU13 apabila menjaja kononnya mereka berhak membentuk kerajaan selepas memperoleh 51 peratus undi popular.
Pihak kerajaan yang membidas sikap mereka menegaskan bahawa pembangkang tidak berhak menuntut undi popular kerana mereka bertanding mengikut lambang parti masing-masing berbanding BN.
Sudah lumrah wakil pembangkang sentiasa menentang segala apa yang dibuat kerajaan, bagaimanapun, bagi isu keselamatan dan kedaulatan negara terutama apabila Sabah diceroboh pengganas Sulu sehingga menyebabkan beberapa anggota penguatkuasa terkorban, mereka sekata dengan kerajaan.
Kerajaan dan pakatan pembangkang sepakat menggesa agar dalang di sebalik insiden pencerobohan di Lahad Datu pada Mac lepas didedahkan kerana sekiranya ia dilengahkan, akan timbul syak wasangka berterusan dalam kalangan masyarakat.
Pada persidangan kali ini juga, tiga rang undang-undang yang dijadual dibacakan untuk kali kedua ditarik balik daripada Aturan Urusan Mesyuarat yang berkaitan dengan isu status agama anak dalam kes ibu atau bapa memeluk agama Islam.
Rang Undang-Undang itu ialah Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013, Rang Undang-undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2013 dan Rang Undang-undang Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2013.
Selain itu, sebanyak 12 rang undang-undang yang dijadual dibacakan kali kedua ditangguh dan dibawa ke persidangan akan datang yang membabitkan Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2013, Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)(Pindaan) 2013, Rang Undang-undang Penjara (Pindaan) 2013 dan Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2013.
Yang lain termasuk Rang Undang-undang Keterangan (Pindaan) 2013, Rang Undang-undang Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya (Pindaan) 2013, Rang Undang-undang Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2013, Rang Undang-undang Rumah Perjudian Terbuka (Pindaan) 2013 dan Rang Undang-undang Loteri (Pindaan) 2013.
Rang Undang-undang Pertaruhan Pool (Pindaan) 2013), Rang Undang-undang Fi (Jabatan Muzium Malaysia)(Pengesahan) 2013; dan Rang Undang-undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2013.
Bagaimanapun, pada mesyuarat kedua persidangan Parlimen 22 Okt lepas, Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2013 yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap mereka yang melakukan jenayah seksual, jenayah terancang serta mencederakan pasangan masing-masing, diluluskan.
Ini diikuti dengan kelulusan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Pindaan) 2013 pada 24 Okt walaupun pembangkang membantah pindaan dan memperkecil usaha kerajaan untuk meningkatkan ketenteraman awam.
Dewan turut meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 bagi tujuan perbelanjaan pembangunan yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Okt lepas dan dibahaskan sehingga 3 Dis.
No comments:
Post a Comment