Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyifatkan amaran Perkasa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai 'amat' keterlaluan.
Katanya, amaran berupa ugutan disuarakan oleh Presiden Perkara, Datuk Ibrahim Ali supaya Najib mengotakan janji membela nasib Melayu dan umat Islam ternyata tidak berasas. Beliau kesal amaran Perkasa seolah-olah Najib yang juga Presiden UMNO tidak melakukan sesuatu untuk kepentingan dan masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
"UMNO pimpinan Najib tidak pernah mengabaikan kepentingan Melayu," tegasnya.
Katanya, amaran Perkasa juga menunjukkan pertubuhan itu langsung tidak menghormati Najib sebagai Perdana Menteri.
"Amat tidak wajar bagi Ibrahim untuk memberi amaran kepada Najib atas isu kepentingan Melayu," tegasnya.
Beliau mengulas ucapan Ibrahim pada majlis persidangan agung Perkasa di Kuala Lumpur hari ini yang dirasmikan oleh tokoh veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang.
Ibrahim dalam ucapannya turut berkata jika Perdana Menteri tidak melakukan sesuatu untuk kepentingan Melayu, Perkasa akan menarik sokongan seperti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 5 Mei lalu.
Beliau mendakwa, Barisan Nasional (BN) menang kerana sokongan Perkasa termasuk juga di Perak dengan majoriti tiga kerusi.
“Perkasa akan menilai prestasi (KPI) Najib dan menteri kabinet yang lain. Kita tidak mahu Najib retorik kerana kita dah muak dengan retorik, rakyat dah muak dengan retorik,” .
Menurut Presiden Perkasa itu, beliau dan pertubuhannya menyokong BN kerana parti alternatif satu lagi tidak boleh membela Melayu dan agama Islam seperti BN.
Jangan mendabik dada
Bagaimanapun, Perkasa katanya sama sekali tidak akan menjadi perkakas atau barua kepada UMNO.
"Perkasa sedia mengambil alih peranan UMNO jika parti itu gagal melakukannya," kata Ibrahim lagi.
Mengulas lanjut, Syed Ali berkata amaran itu menggambarkan Perkasa seperti angkuh dengan mendabik dada sebagai juara memperjuangkan kepentingan Melayu. Perkasa kata beliau, sepatutnya lebih berhemah mengemukakan teguran dan pandangan bersesuaian dengan sifatnya sebagai sebuah Ngo bebas.
"Kita menghormati Perkasa yang turut memperjuangkan kepentingan orang Melayu tetapi cara presidennya memberi amaran berbau ugutan kepada Najib amat keterlaluan," tegasnya.
Syed Ali menjelaskan, UMNO tidak pernah menjadikan Perkasa sebagai perkakas atau barua sepertimana dakwaan Ibrahim.
Katanya, selama ini UMNO menghormati sokongan Perkasa dan menyifatkan sokongannya terhadap UMNO dianggap sebagai ikhlas.
"Tetapi apabila sokongan itu diungkit semula, seolah-olah ianya seperti mahukan balasan setimpal di atas sokongan tersebut. Tambah beliau, perkembangan itu menampakkan Perkasa tidak ikhlas.
"Jangan terlalu mendabik dada kononnya Perkasa sebagai kuasa penentu kemenangan UMNO dan BN pada PRU ke-13 yang lalu," tambahnya.
Beliau bimbang kenyataan Ibrahim itu akan menimbulkan anggapan kononnya beliau terlalu kecewa kerana tidak mendapat sesuatu yang dihajatinya sehingga tergamak mengeluarkan amaran seperti itu.
Menurut beliau lagi, UMNO merupakan parti teras yang tetap akan memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
Katanya, Najib selaku Presiden UMNO tidak pernah mengenepikan kepentingan Melayu adalam agenda perjuangan parti.
"Kita tidak berterorik berhubung kepentingan Melayu, oleh sebab itu pentadbiran Najib tidajk dilihat popular.
Katanya, UMNO tidak sama sekali akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengganggu-gugat kepentingan Melayu.- UBC
No comments:
Post a Comment