Kaedah majoriti mudah yang dicadangkan untuk diamalkan oleh Barisan Nasional (BN) tidak akan menjejaskan mana-mana parti komponen kerana setiap parti mempunyai tiga wakil dalam BN, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Jelas beliau, dalam BN tidak kira parti komponen berkenaan besar atau kecil semua parti hanya mempunyai tiga wakil.
“Amalan konsensus yang diguna pakai BN pada masa ini menetapkan jika satu parti tidak setuju maka sesuatu cadangan itu tidak akan dapat diteruskan. Sebab itulah saya cadangkan kaedah majoriti mudah,” katanya selepas merasmikan kemudahan Park N Ride Bandar Tasik Selatan di sini hari ini.
Tengku Adnan berkata kaedah konsensus yang diguna pakai pada masa ini memberi peluang kepada pihak tertentu memanipulasi kaedah itu dan mendakwa terdapat parti yang besar mendominasi parti-parti lain dalam BN.
“Saya cukup terkilan dengan tuduhan itu,” katanya.
Laporan sebelum ini menyebut cadangan untuk mengguna pakai kaedah majority mudah berbanding sistem konsensus yang kini diamalkan BN dalam membuat keputusan akan dikemukakan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada tahun depan.
Perlembagaan BN perlu dipinda untuk membolehkan kaedah undi majority dilaksanakan.
No comments:
Post a Comment