Kerajaan memantau kadar inflasi setiap bulan susulan rasionalisasi subsidi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala.
“Kadar inflasi sekarang berada pada paras sangat rendah. Kami mengkaji ini(rasionalisasi subsidi) sebelum ini dan Bank Negara Malaysia membuat penilaian ke atas rasionalisasi subsidi.
“Penilaian itu menunjukkan hanya akan terdapat kenaikan kecil inflasi, tetapi ia akan dibendung,” katanya.
“Pelaksanaan rasionalisasi subsidi tidak drastik tetapi ‘dilakukan secara berperingkat dalam tempoh masa yang panjang,” katanya kepada pemberita selepas perbincangan panel bersama menteri-menteri bersempena dengan acara “ETP Kini 3 Tahun” di sini, hari ini.
Peserta panel termasuklah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Idris, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai kebimbangan bahawa rasionalisasi subsidi boleh memberi tekanan kepada kadar inflasi.
No comments:
Post a Comment