Nuffnang Ads

Thursday, 19 December 2013

UMNO Tidak Perjudikan Kepentingan Rakyat Untuk Popular – Syed Ali

UMNO sebagai tunjang kekuatan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan memperjudikan kepentingan rakyat hanya untuk dilihat popular, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.
Sebaliknya jelas beliau, UMNO akan terus menjuarai kepentingan rakyat termasuk kaum bukan Melayu walaupun terpaksa berdepan dengan terjahan pembangkang menerusi pelbagai bentuk fitnah dan provokasi.
“Biarlah UMNO menjadi parti yang dilihat tidak popular tetapi mesej perjuangannya jelas dan dapat diterima oleh rakyat terutama umat Melayu,” tegasnya dalam entri terbaru di umnobahagiancheras.blogspot.com.
Sebagai tunjang kerajaan BN kata beliau, UMNO kadangkala berada di dalam keadaan sukar apabila tercetus sesuatu isu yang membabitkan kepentingan rakyat.
Oleh sebab itu katanya, UMNO terpaksa bertindak secara berhemah terutama dalam soal mempertahankan kepentingan Melayu tanpa mengguris perasaan kaum lain.
“Apabila UMNO begitu lantang memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu, ini bukan bermakna UMNO menidakkan keperluan kaum lain,” ujarnya.
Oleh sebab itu tambah beliau, kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan kepentingan rakyat sebagai agenda pembangunan negara walaupun langkah seperti itu mendapat kritikan sesetengah pihak.
“Malah ada pihak mendakwa tindakan Najib mendahului kepentingan rakyat sebagai satu langkah tidak popular,” tambahnya lagi.
Syed Ali mengulas penjelasan Najib bahawa beliau tidak akan menggunakan pendekatan populis dalam pentadbirannya kerana cara tersebut hanya akan meranapkan masa depan negara.
Sebaliknya Perdana Menteri menegaskan, kerajaan di bawah eranya ditadbir secara berhemah bagi memastikan kepentingan setiap rakyat termasuk kakitangan awam terus terbela.
“Saya boleh jadi Perdana Menteri yang berdiri atas platform populis tetapi saya akan meranap dan merosakkan masa depan negara yang tercinta,” katanya Najib ketika berucap merasmikan Konvensyen Tritahunan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Ke-26 di Kuala Lumpur semalam.
Mengulas lanjut, Syed Ali menyelar parti pembangkang kerana lebih ghairah melontarkan krtikan melulu terhadap kerjaan daripada melihat kepentingan rakyat.
“Pembangkang lemparkan pelbagai krtikan dan fitnah, mereka lebih memikirkan keuntungan politik dan supaya dilihat popular di mata rakyat,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, parti pembangkang di negara ini tidak mempunyai landasan perjuangan yang betul untuk agenda rakyat sebaliknya hanya menjuruskan kepada kuasa politik dan kepentingan peribadi.
Dalam perkembangan lain, Syed Ali mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kumpulan yang akan mengadakan perhimpuan haram pada malam tahun baru di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, tidak lama lagi.
“Saya difahamkan ada kumpulan tertentu akan mengadakan perhimpunan besar-besaran mengajak rakyat membantah beberapa tindakan yang dilakukan kerajaan sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, DBKL selaku pihak yang bertanggungjawab terhadap Dataran Merdeka perlu memantau perkembangan ini dan jangan membenarkan mana-mana pihak menggunakannya untuk agenda politik.
“Apabila tidak ada kebenaran DBKL, maka perhimpunan itu bersifat haram dan pihak polis perlu bertindak tegas berdasarkan undang-undang.
Beliau bimbang perhimpunan pada malam menyambut tahun baru akan mencetuskan keadaan tidak diingini apabila berlaku pertembungan antara kumpulan terbabit dengan orang awam yang hadir untuk memeriahkan sambutan berkenaan.
“Situasi itu juga akan menimbulkan persepsi buruk kepada pelancong luar,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment