Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat supaya terus bersatu padu dan berusaha gigih untuk memastikan negara sentiasa dipenuhi keharmonian.
Perdana menteri berkata persengketaan pasti berlaku apabila masyarakat berbilang bangsa dan agama enggan menerima hakikat perbezaan antara mereka.
“Meskipun begitu, tetap wujud percubaan untuk memecahbelahkan harmoni antara kita. Sering kali tekad perpaduan kita diuji. Mujurlah, berkat kesabaran, penerimaan dan persefahaman, kita dapat mengatasi segala-galanya.
“Kita insafi nikmat kerana dapat hidup di bumi bertuah ini,” katanya dalam mesej Hari Krismas yang disiarkan blog www.1Malaysia.com.my.
Najib menyifatkan Malaysia sebuah negara istimewa dan kesatuan dalam kepelbagaian menjadikan negara yang menjadi tempat berteduh rakyat pelbagai kaum dan agama ini, unik.
Perdana menteri menarik perhatian bahawa Malaysia lebih bertuah berbanding sesetengah tempat lain di dunia yang menyaksikan ketidakharmonian dan persengketaan.
“Saya bersyukur kerana kita dapat meraikan setiap perayaan keagamaan dengan penuh muhibah.
“Hakikatnya, ini mampu direalisasikan kerana kita berupaya untuk mendakap perbezaan antara satu sama lain. Jika kita bersatu, kita pasti dapat mencapai tahap kekuatan dan kegemilangan yang ulung,” kata Najib.
Justeru, beliau menggesa rakyat supaya tidak lupa kepada rahmat yang dikurniakan dan berusaha berkongsi rahmat itu dengan setiap orang di sekeliling.
Katanya semangat muhibah perlu disemarakkan lagi dengan saling kunjung-mengunjungi dan sentiasa mengingati ajaran yang mendorong untuk menghormati kepercayaan lain.
“Mari kita melakar langkah ke hadapan dengan penuh harapan, keyakinan dan kepastian bahawa setiap orang dikurniakan masa depan yang cerah di tanah air tercinta ini.
“Saya mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas kepada anda semua. Semoga perayaan ini membawa seribu keriangan dan makna,” katanya mengenai perayaan itu yang disambut esok.
No comments:
Post a Comment