Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam ucapannya dasarnya pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO menyifatkan pembangkang yang kononnya juara demokrasi tetapi hakikatnya sumbang di gelanggang sendiri.
Tegasnya lihat sahaja DAP dan Pas yang tak sudah-sudah menabrak sistem pilihan raya negara dan SPR, sudahnya malu sendiri.
“Pilihan raya DAP yang ada dua ribu lebih pemilih pun tunggang langgang, habis semua orang disalahkan. Akhirnya terpaksa buat pemilihan semula selepas sembilan bulan pemilihan pertama dibatalkan. Tapi biasalah… semua itu bukan salah mereka.
“Pas bulan lepas apa kurangnya? Berdalih melewatkan keputusan, konon silap sistem yang menguruskan cuma seribu orang itu. Tiba giliran PKR, lain plot cerita, gegak gempita memperjuang ketelusan, pemimpin wahid sendiri kebal demokrasi. Bahkan jawatan pun langsung tak wujud dalam perlembagaan parti”, katanya.
Tambah beliau lagi inilah bezanya anatara UMNO dengan pembangkang sebagai contoh DAP dan Pas yang hanya memberi muka kepada dua tiga ribu pemilih di peringkat pusat.
“… kita pula membuka aula kepada 150 ribu ahli di peringkat akar umbi untuk mengundi. Berbanding PKR yang berketua umum-kan jawatan khayalan, seluruh jawatan dalam UMNO sah termaktub mengikut perlembagaan parti”, ujarnya.
Walaupun UMNO kata beliau lagi melakar sejarah baru menggunakan sistem pemilihan baru, yang bertunjangkan suara akar umbi dalam menentukan kepimpinan parti namun Pemuda menggesa agar post mortem segera dilaksanakan.
“Bukanlah kita ini ibarat mengetuk pahat bila rumah siap, tapi penambahbaikan perlu untuk memastikan keputusan pemilihan saksama, dihormati dan tiada ruang untuk pertikaian. Justeru, sebarang kelemahan harus tangkas diperbetulkan. Jika tidak, langkah transformasi kita ini umpama pukat terlabuh ikan tak dapat.
“Proses pemilihan itu sendiri, misalnya, masih punya ruang untuk diperkemas dan dimantapkan lagi. Jangan ada kertas undi yang sama warna hingga menimbulkan ragu mengelirukan perwakilan. Bila mengumumkan siapa menang siapa kalah, keputusan yang sampai ke ibu pejabat, mesti sama dengan yang apa telah disahkan oleh wakil-wakil calon di bahagian. Jangan si polan A menang di bahagian, si polan B pula diumumkan menang bila keputusan diisytiharkan di ibu pejabat”, katanya.
Menyentuh tentang logistik pula, tambah beliau aspek kerahsiaan hendaklah dijaga, perlu ada galang penghadang semasa proses mengundi dijalankan.
“Kita mesti menyediakan tenaga kerja yang cukup untuk memantau proses pengundian, barulah ahli tidak ragu, tidak bimbang. Tatacara rayuan pula mestilah sekata dan telus.
“Proses rayuan itu juga tidak boleh dilihat umpama menghukum atau menyebelahi mana-mana pihak. Kriteria untuk pengundian semula hendaklah diperbutirkan dengan jelas oleh ibu pejabat, jangan sampai mencelarukan.
“Namun demikian, kita bersyukur kerana UMNO terbukti mampu memberi ruang yang mampan untuk ahli menentukan pucuk pimpinan parti”, ujarnya.
No comments:
Post a Comment