Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin hari ini menggariskan tiga langkah utama bagi memenangi hati orang muda untuk menyokong UMNO dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 nanti.
Langkah pertama, mengadakan program ‘Jelajah Anak Muda’ mulai tahun depan dengan mengerahkan tenaga Pemuda dalam kalangan perwakilan Exco dan Bahagian.
“Pemuda akan menjelajah institut pengajian tinggi awam, politeknik dan institut latihan bagi menemui mereka. Kita juga akan menghantar wakil bertemu pelajar di luar negara,” katanya dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Pemuda 2013 di sini hari ini.
Bagi langkah kedua, Khairy berkata pihaknya akan menerap pendekatan ke pusat ibadah, yang mana pada masa sama, akan cuba menjadi ejen penyelesai masalah rakyat.
Beliau berkata Pemuda juga akan lebih ke depan dalam mencari penyelesaian masalah seperti banjir dan kebakaran agar rakyat tidak perlu lagi menunggu wakil rakyat mereka berbuat sesuatu.
“Kerana itulah kita telah meminta rakan-rakan Pemuda kita yang berada di sini supaya segera pulang ke kawasan dilanda banjir. Ada lebih kurang tujuh atau lapan bahagian telah kita arah pulang hari ini bagi membantu penduduk yang terjejas dengan banjir,” katanya.
Khairy berkata langkah ketiga menyaksikan Pemuda tidak perlu takut berdepan serangan pembangkang di arena politik dan segera tampil berdebat, jika perlu, untuk menerangkan sesuatu isu yang timbul.
Beliau berkata menerusi cara ini, generasi muda akan lebih mempercayai kredibiliti dan keupayaan Pemuda sekali gus tidak membenarkan pembangkang menang percuma.
Dalam pada itu, Khairy berkata Pemuda dan pihak berwajib akan membantu kira-kira 60,000 daripada 140,000 pemohon mendapatkan Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) secepat mungkin.
Katanya, status pemohon ialah sedang menjalani kursus dan pemeriksaan, 50,000 berjaya memperoleh lesen manakala bakinya adalah mereka yang mempunyai masalah kerana lokasi yang jauh, dan golongan ini akan menerima bayaran khas daripada Pemuda.
Program BL1M merupakan antara inisiatif Pergerakan Pemuda UMNO di bawah kelolaan Sekretariat Hal Ehwal Bandar bagi membolehkan penunggang motosikal muda memperoleh lesen B2 dengan kadar yang lebih murah.
No comments:
Post a Comment