Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang pada Jumaat membuat laporan polis berhubung usaha pihak tertentu menganjurkan perhimpunan yang dinamakan ‘Himpunan Guling Kerajaan’ pada 31 Dis.
Ketua pergerakan itu Rafizal Abd Rahim berkata polis perlu mengambil tindakan segera bagi menahan dalang yang cuba menimbulkan keadaan huru-hara di negara ini.
“Saya mendapat maklumat berhubung perhimpunan untuk guling kerajaan pada 31 Dis ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dan seluruh negara melalui laman media sosial Facebook pada Khamis.
“Berikutan itu saya mewakili Pemuda UMNO Negeri membuat laporan polis berhubung perhimpunan itu dan tindakan segera perlu diambil,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini Jumaat.
Rafizal berkata kerajaan dipilih secara demokratik dan pertukarannya tidak boleh dilakukan melalui kekerasan dan perhimpunan seumpama itu bukan sahaja memburukkan negara sendiri malah menakutkan pelancong asing untuk melawat negara ini.
Baru-baru ini Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dipetik sebagai berkata polis memandang serius tindakan pihak yang mengedarkan poster mengajak orang ramai mengguling kerajaan pada 31 Dis ini dan akan menyiasat perkara itu mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
No comments:
Post a Comment