Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan kali kedua Anwar Ibrahim untuk menggugurkan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah selaku pendakwa raya dalam rayuan kes liwat II membabitkan Ketua Pembangkang itu dengan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Permohonan Anwar itu ditolak kerana dibuat berasaskan kepada akuan berkanun (SD) yang bersifat dengar cakap dan penuh keraguan, lapor Utusan Online.
Semalam, Muhammad Shafee berhujah dalam mahkamah menyatakan bahawa permohonan Anwar yang berpandukan kepada akuan berkanun yang diikrarkan oleh bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim mengandungi banyak pertikaian dan tidak sepatutnya dilayan.
Muhammad Shafee dilaporkan Utusan berhujah, akuan bersumpah bekas pegawai polis itu yang mengaitkan beliau dengan pelbagai pihak berhubung beberapa isu sensitif melibatkan Peguam Negara, tidak wajar dipercayai kerana kesahihannya tidak dapat dibuktikan di mahkamah.
Muhammad Shafee selanjutnya menghujahkan, beberapa semakan yang dibuat terhadap status Mat Zain menunjukkan dia seorang muflis kerana gagal membayar hutang bernilai ratusan ribu ringgit yang dipinjam daripada seorang ahli perniagaan.
Menurut beliau, semakan dengan Jabatan Insolvensi berhubung status itu pada mulanya menghadapi kesukaran kerana Mat Zain didapati menggunakan beberapa kad pengenalan dengan pelbagai nombor yang berbeza.
Hujahnya, Mat Zain malah bersikap tidak jujur kerana tidak menggunakan nombor kad pengenalannya yang betul ketika mengikrarkan akuan berkanun yang kemudian digunakan oleh Ketua Pembangkang itu sebagai asas dalam permohonan hari ini.
Sehubungan itu, Muhammad Shafee meminta agar permohonan baharu untuk menggugurkannya daripada mengetuai rayuan kes liwat Anwar ditolak atas alasan tindakan itu hanya melengahkan-lengahkan pendengaran rayuan tersebut.
Mahkamah turut menetapkan 12 dan 13 Februari tahun depan bagi mendengar rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Pendakwa raya tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah pada 9 Januari tahun lalu yang melepas dan membebaskan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu daripada tuduhan liwat.
Anwar, 66, didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008. -UMO
No comments:
Post a Comment