Nuffnang Ads

Thursday 30 January 2014

Biarpun Ditikam Belakang, Pas Terperangkap Dalam Kedangkalan Sendiri

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi berkata beliau yakin bahawa  perasaan tidak puas hati kini sedang membuak-buak di kalangan kepimpinan Pas pusat, negeri dan juga di peringkat akar umbi berhubung isu peletakan jawatan ADUN Kajang, Lee Chin Cheh dan juga pengumuman Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan diri untuk bertanding bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut.
Bagaimanapun, Pas seperti biasa menurut beliau, tidak akan berani  untuk bertindak lebih dari hanya sekadar menyuarakan rasa tidak puas hati mereka, biarpun kepimpinan Pas tahu bahawa ini merupakan satu konspirasi politik PKR yang ternyata membelakangi Pakatan Pembangkang demi agenda politik Ketua Pembangkang.
“Saya yakin bahawa kepimpinan Pas tahu bahawa ini semua merupakan konspirasi politik Anwar untuk menyelamatkan karier politiknya. Kita tahu bahawa hari ini Anwar berdepan dengan begitu banyak isu seperti kes liwatnya yang akan bermula pada bulan Februari ini, kes yang melibatkan anaknya dan beberapa lagi.
“Namun sikap kepimpinan Pas sepertimana yang sebelum ini, tidak ada sebarang tindakan drastik yang mampu mereka lakukan. Biarpun ada kepimpinan Pas yang menyuarakan rasa tidak puas hati mereka, pendapat saya itu sekadar satu wayang mereka.
geng_sokong_anwar_erdogan_pas
“Saya yakin,  kepimpinan Pas pasti akan tunduk akur dengan keputusan Anwar biarpun rasa tidak puas hati membuak-buak diperingkat kepimpinan dan akar umbi parti tersebut,” tegasnya di sini hari ini.
Perkara ini berlaku disebabkan Pas hari ini terlalu bergantung kepada DAP dan PKR dalam survival politik mereka dan terikat dengan perjanjian antara parti di dalam Pakatan di mana akhirnya apa saja kata dan keputusan Anwar Ibrahim mereka akan turuti, jelas Puad.
“Di peringkat kepimpinan Pas dan akar umbi merasakan bahawa mereka ditikam dari belakang, apabila Anwar tidak berbincang terlebih dulu dalam membuat keputusan dalam isu ini. Namun saya yakin, Pas tidak mampu berbuat apa-apa, apatah lagi untuk keluar dari Pakatan dan akhirnya hanya akan menurut saja kehendak Anwar dan juga DAP,” jelasnya.
Puad juga menyifatkan bahawa tindakan Anwar yang membuat keputusan tanpa berbincang dengan kepimpinan pakatan merupakan cerminan kepada sikap kuku besinya.
“Saya yakin, sekiranya Anwar berjaya dengan perancangannya untuk menjadi MB Selangor, maka sikap kuku besinya akan lebih terserlah, berbanding Khalid yang dilihat sebagai pemimpin yang pasif dan lemah dalam membuat keputusan.
“Namun dalam hal ini, kerugian pasti akan memihak kepada Pas kerana sekiranya Anwar duduk dikerusi MB Selangor, maka suara kepimpinan Pas dalam soal Islam dan Melayu pastinya tidak diambil peduli oleh Anwar. Apa yang pasti, jika Anwar menjadi MB Selangor, Pas akan lebih terpinggir dalam acuan pentadbiran negeri selepas ini,” ujarnya.
Sementara itu, beliau juga meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap ADUN Kajang, Lee Chin Cheh yang meletakkan jawatan di mana kemungkinan ada wujudnya unsur-unsur rasuah di situ.
“Bagi saya, tidak semudah itu seseorang ADUN mahu meletakkan jawatan sekiranya tidak ada sebarang imbuhan balik kepada dirinya. Apatah lagi beliau pun tidak sampai setahun menjadi ADUN di kawasan tersebut.
“Jadi saya mendesak agar SPRM menyiasat isu ini kerana dibimbangi wujudnya unsur-unsur rasuah yang akhirnya membuatkan ADUN Kajang tersebut bersetuju untuk melepaskan jawatannya dan memberikan laluan kepada Anwar untuk bertanding di situ,”tegasnya. 

No comments:

Post a Comment