Pergerakan Wanita UMNO Malaysia mendesak Kementerian Luar Negeri melalui Wisma Putra untuk mengatur satu perbincangan dua hala antara kerajaan (G2G) bagi menyelesaikan kemelut penahanan pasangan Islam warga Malaysia di Sweden.
Ketua Penerangannya, Datuk Rosni Zahari, menegaskan bahawa Wanita UMNO memandang serius isu ini dan mengambil berat tentang keadaan empat orang anak kepada pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal yang berada di dalam keadaan tertekan.
“Kami percaya tindakan yang dibuat oleh pasangan ini adalah berniat baik untuk membentuk dan mendidik anak mereka sebagaimana lazim ibu bapa lain mendidik anak-anak di Malaysia.”
Dilaporkan, ibu bapa kepada empat orang kanak-kanak tersebut telah ditahan kerana dikatakan telah memukul tangan salah seorang daripada anak mereka ekoran enggan solat.
“Apa juga tindakan yang diambil oleh kerajaan Sweden mereka harus melihat kepada kepentingan kanak-kanak. Kami difahamkan melalui kenyataan salah seorang anak pasangan ini bahawa mereka semua kini berada dalam kedaaan tertekan dan tidak gembira.
“Kami juga berharap agar satu penyiasatan yang adil juga diambil terhadap ibu bapa kanak-kanak ini.”
Dalam hal ini, Wanita UMNO mendesak supaya kerajaan Malaysia campur tangan untuk menyelesaikan isu tersebut secepat mungkin terutama untuk membawa kanak-kanak terbabit kembali ke Malaysia dan tinggal dengan keluarga terdekat mereka sementara menunggu keputusan penahanan ibu bapa mereka.
“Wanita UMNO telah mewujudkan pasukan pamantau (watch group) bagi memastikan kes ini dapat diselesaikan dengan secara adil dan saksama serta bersedia untuk ke Sweden bagi membawa pulang kanak-kanak terbabit ke tanahair jika dibenarkan.”
Azizul, Pengarah Tourism Malaysia di Stockholm dan Shalwati Norshal, guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan untuk siasatan dan sehingga kini, tiada pertuduhan dikemukakan terhadap pasangan itu dengan tempoh tahanan reman mereka dilanjutkan dua minggu lagi.
No comments:
Post a Comment