Nuffnang Ads

Wednesday 29 January 2014

Inilah Masa Pas Selangor Tunjuk Berani Ajar Anwar, PKR

Mantan Ketua Pemuda Pas Negeri Pulau Pinang, Ustaz Hafiz Nordin Firlansa menyeru kepimpinan Pas Selangor jangan terus bertolenrasi berhubung keadaan kemelut yang sedang melanda kepimpinan PKR di negeri tersebut serta ‘mengajar’ Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat keputusan membelakangi parti tersebut.
Menurut beliau, tidak ada sebarang perbincangan dengan kepimpinan Pas baik di negeri mahupun di pusat berhubung beliau mahu menjadi calon di Dewan Undangan Negeri Kajang, setelah Ahli Dewan Undangan Negeri di kawasan itu, Lee Chin Cheh meletakkan jawatan.
“Pada pandangan saya, dalam keadaan kalut hari ini, kepimpinan Pas negeri mesti mengambil alih pentadbiran di negeri Selangor. Sudah lama kita bertolak ansur  dengan karenah dan perangai politik Anwar Ibrahim.
“Hari ini sudah jelas tindakan Anwar yang membelakangi Pas dan kepimpinan pakatan serta membuat keputusan sendiri demi agenda politik peribadinya. Ini bukan UMNO yang tunjuk, tetapi dia tunjuk sendiri perangainya itu.
“Jadi saya rasa cukup-cukuplah. Pas perlu ambil alih pentadbiran negeri. Lagipun kerusi yang dimenangi Pas lebih banyak dari kerusi PKR, jadi tidak sebab Pas tidak boleh ambil alih pentadbiran negeri,” katanya di sini hari ini.
Apabila ditanya apa yang dimaksudkan dengan mengambil alih pentadbiran, beliau menjawab, Pas mesti meletakkan calon bagi jawatan Menteri Besar Selangor sekiranya berlaku kekosongan kelak.
“Ya, sekiranya kemelut ini berterusan sehingga menyebabkan jawatan MB kosong, maka saya berpendapat pimpinan Pas negeri perlu menghantar calon untuk dipilih sebagai MB Selangor.
“Sudah sampai masanya Pas pula yang kehadapan dan tidak hanya memainkan peranan di belakang tabir. Ambil alih pentadbiran negeri kerana jelas kerajaan hari ini gagal menyelesaikan segala kemelut sesama sendiri sehingga amanah rakyat tidak terlaksana.
“Secara terus terang, dulu, kini dan selamanya saya mahu dan sentiasa menyokong sebarang usaha untuk melantik Menteri Besar di kalangan kepimpinan Pas di Selangor,” tegasnya.
Hafiz juga turut meminta agar kepimpinan Pas pusat tidak campur tangan di dalam sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh kepimpinan Pas negeri berhubung perkara ini kelak.
“Saya kira Pas pusat tidak perlu campur tangan, dan membiarkan Pas negeri membuat keputusan mereka. Samada mereka mahu bertanding pada pilihanraya kecil ini atau tidak, samada mereka mahu meletakkan salah seorang calon mereka sebagai MB atau pun tidak, biarkanlah kepimpinan Pas Selangor membuat keputusan tanpa ada campur tangan dari mana-mana pihak,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment