Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menyeru umat Islam di negeri ini agar menghayati pendekatan kesederhanaan atau ‘wasatiyyah’ diamalkan Nabi Muhammad S.A.W serta meneroka khazanah sirah Rasulullah untuk dijadikan contoh ikutan sepanjang hayat.
Beliau berkata di samping akhlak dan keperibadian mulia, masyarakat juga perlu mencontohi semangat dan daya juang baginda dalam melakar kecemerlangan dan kejayaan umat Islam.
“Ia merangkumi kecekapan sistem politik dan pentadbiran, kejayaan ekonomi dan keadilan sosial,” katannya pada majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah di Padang Majlis Perbandaran Tawau di sini, hari ini.
Beliau berkata kelahiran baginda Rasulullah SAW yang digambarkan oleh Allah SWT melalui Al-Quran sebagai “rahmat kepada seluruh alam’, telah menterjemahkan banyak mesej, teladan dan pengajaran yang penting kepada seluruh umat Islam.
Musa berkata, antara kejayaan besar Rasulullah adalah mempersaudarakan dan menyatupadukan masyarakat Arab jahiliah yang terdiri daripada pelbagai puak dan kabilah di bawah panji-panji Islam.
“Jika kita singkap sejarah dan perkembangan dunia semasa, banyak negara yang dahulunya merupakan kuasa besar, kaya dengan hasil bumi dan disegani menjadi lemah akibat konflik dalaman yang berpanjangan sesama mereka.
“Meskipun kita hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya namun kita dapat bersama-sama memajukan negeri ini dalam suasana harmoni dan bersatu padu kerana kita saling hormati-menghormati dan menerima keunikan dan perbezaan ini sebagai tunjang kekuatan kita bersama,” kata Musa.
Sehubungan itu, beliau berkata semua umat Islam di negeri ini harus bersyukur kerana terus berpeluang menyambut dan menghayati hari-hari kebesaran Islam dalam suasana aman damai dan harmoni.
“Marilah kita menghayati semangat Maulidul Rasul SAW dengan melipatgandakan lagi usaha demi mencapai lebih banyak kejayaan dan kecemerlangan seterusnya melaksanakan tanggungjawab dan kewajiban yang telah diamanahkan dengan lebih bersungguh-sungguh untuk menjadi umat yang terbaik dan cemerlang di dunia dan di akhirat,” katanya.
No comments:
Post a Comment