Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Seri Fairus Khairuddin berkata provokasi demi provokasi melampau dan biadap mempergunakan isu kaum dan agama yang semakin menjadi-jadi hari ini adalah hasil daripada pemikiran politik sempit dan terdesak yang didalangi oleh pembangkang di negara ini.
Menurut beliau, politik perkauman dan agama hari ini telah menjadi senjata ampuh pembangkang bagi memecahkan solidariti rakyat dalam usaha memperkukuhkan politik pembangkang di negara ini.
“Inilah yang dinamakan kaedah Divide and Rules di mana setelah pembangkang gagal dalam PRU yang ke 13 baru-baru ini, mereka terus menjaja dan menjadikan isu-isu agama serta kaum sebagai senjata utama mereka memecah belahkan rakyat.
“Sebab itu kita lihat hari ini pelbagai provokasi baik dari sudut perbuatan mahupun kecaman biadap yang menjurus soal agama dan kaum semakin melampau dan menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.
“Ini merupakan taktik pembangkang untuk membangkitkan tekanan yang bersifat perkauman dan agama, bagi menjadikan hubungan antara rakyat berbilang bangsa di negara ini semakin tegang,” jelasnya di sini hari ini.
Beliau melihatkan situasi ini sebagai satu perkembangan yang tidak sihat untuk kestabilan dan ekonomi negara di mana sekiranya provokasi seperti ini diteruskan, maka besar kemungkinan boleh tercetusnya pergaduhan yang melibatkan soal kaum dan agama.
“Saya juga menuntut agar Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan setegas-tegasnya kepada mana-mana individu atau pemimpin politik yang menghasut rakyat dengan membangkitkan isu-isu sensitif dalam soal agama dan kaum.
“Sebagai contoh, isu guru berbangsa Cina yang menyuruh anak muridnya berbangsa Melayu memakan rumput sepatutnya dikenakan tindakan dengan memecatnya dari jawatan guru. Bagi saya tidak cukup dengan pertukaran sekolah saja.
“Begitu juga dengan tindakan sesetengah pihak yang menggantung sepanduk provokasi berkaitan agama yang jelas melanggar undang-undang negara perlu diambil tindakan tegas.
“Sekiranya dibiarkan tanpa sebarang tindakan tegas, saya yakin provokasi seperti ini akan lebih menjadi-jadi sehingga boleh mengundang sesuatu yang buruk kepada keamanan dan kestabilan negara,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment