Nuffnang Ads

Thursday 16 January 2014

Jawatankuasa Khas Kabinet Diharap Mampu Kekang Kenaikan Harga Barang – Ahmad Maslan

Penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet oleh kerajaan bagi menangani kenaikan kos sara hidup diharap mampu mengekang kenaikan harga barangan oleh peniaga, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.
“Saya harap jawatankuasa khas segera membuat keputusan yang mengembirakan rakyat dalam masa terdekat ini, seperti menambah kawalan harga barang atau senarai barang kawalan harga,” katanya selepas majlis prapelancaran Konvensyen Sosioekonomi Banjar Sedunia di sini hari ini.
ahmad-maslan-menteri-kewangan-penerangan-umno-bn-malaysia
Beliau berkata jawatankuasa berkenaan juga perlu membuat keputusan tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga barang terlalu tinggi melalui pelaksanaan undang-undang antipencatutan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin hari ini mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas Kabinet mengenai harga untuk meneliti kenaikan harga barangan yang berpunca daripada struktur pasaran, termasuk isu bekalan serta sistem pemasaran.
Kata Ahmad penubuhan jawatankuasa khas berkenaan akan menyepadukan tindakan kementerian dan agensi kerajaan dalam menangani kenaikan kos sara hidup dan tidak hanya terletak di bahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
“Peningkatan kos sara hidup ini bukan dituju kepada satu-satu kementerian, bukan hanya KPDNKK yang terlibat dalam kos sara hidup dan menguruskan kos sara hidup rakyat ini.
“Ia melibatkan pelbagai kementerian dan agensi termasuk Kementerian Kewangan,” katanya.
Mengenai Konvensyen Sosioekonomi Banjar Sedunia itu, Ahmad berkata  sekurang-kurangnya 3,000 individu dan syarikat usahawan Melayu Banjar dari seluruh dunia dijangka menghadiri konvensyen berkenaan.
Katanya konvensyen berkenaan akan membentangkan kertas kerja untuk mengukuhkan ekonomi masyarakat Banjar, yang antara lain, menekankan penyertaan dalam keusahawanan.

No comments:

Post a Comment