“Kalau nak tahu dia (Anwar Ibrahim) bertaraf dunia atau tidak datanglah ke Permatang Pauh dan nilaikan sendiri. Malah boleh tanya kepada penduduk di Permatang Pauh di sini sejauh mana kehebatan dia menjaga kawasan di sini”, demikian menurut Ketua UMNO Permatang Pauh, Mohd Zaidi Mohd Said.
Justeru, beliau menggesa agar dikemukakan bukti yang boleh menyokong untuk mengangkatkan Anwar Ibrahim kononnya pemimpin bertaraf dunia kerana penduduk di Permatang Pauh lebih kenal dan arif siapakah Ahli Parlimen mereka itu.
Jelasnya lagi dengan pelbagai masalah yang menghantui penduduk di beberapa kawasan seperti kemudahan asas yang belum lagi diselesaikan serta permasalahan banjir di beberapa tempat, nafsu besar Anwar untuk bertanding di PRK DUN Kajang menimbulkan tanda tanya.
“Penduduk di Permatang Pauh ini sebenarnya masih banyak memerlukan pembelaan daripada Anwar dan apa yang berlaku hari ini menunjukkan kepada umum bahawa beliau sekadar Ahli Parlimen atas kertas semata-mata.
“Apa makna nak letak dia pemimpin pemimpin bertaraf dunia jika kawasan sendiri masih lagi tidak terjaga sepenuhnya. Rakyat khususnya pengundi di kawasan ini memerlukan tumpuan terutama dalam menyelesaikan beberapa masalah seperti yang saya katakan tadi dan bukan sekadar balik jenguk sekali sekala sahaja.
“Sebab itu apa yang saya nampak dari segi khidmat bakti di kawasan ini, beliau hanya sekadar pemimpin biasa sahaja dan bukannnya bertaraf dunia. Saya bukannya merendah-rendahkan beliau tetapi itulah realitinya di Permatang Pauh ini,” katanya di sini.
Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata, penduduk Kajang patut bersyukur kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim, seorang yang disifatkannya pemimpin bertaraf dunia, bertanding dalam pilihan raya kecil itu.
Katanya, semua pihak sedia maklum tentang kepimpinan Anwar bukan sahaja di Malaysia tetapi juga negara-negara Islam seperti di Timur Tengah serta negara-negara membangun.
Mengulas lebih lanjut, Zaidi yang lebih dikenali sebagai Cikgu Zaidi seterusnya menambah memang betul jika dikatakan Anwar pemimpin bertaraf dunial tetapi dari sudut gimik politiknya sahaja.
“Bab itu kita akuilah tetapi hebatnya beliau dari segi gimik politik sahaja….Sebab itu daripada satu sudut langkahnya untuk bertanding di Kajang itu juga ada tersiratnya.
“Mungkin itu cara beliau mengalihkan tumpuan terhadap kemelut dalaman PKR serta dakwaaan yang menimpanya seperti yang diperkatakan oleh rakan-rakan rapat beliau hari ini. Itulah Anwar Ibrahim,” katanya.
No comments:
Post a Comment