Nuffnang Ads

Wednesday, 29 January 2014

Pembangkang Jadikan Demokrasi Sebagai Alasan Untuk Provokasi Melampau

Provokasi antara parti-parti politik adalah perkara biasa namun apa yang membimbangkang apabila provokasi melampau dilakukan khususnya oleh pakatan pembangkang dalam hasrat mereka untuk mendapat kuasa.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Bung Mokhtar Radin menganggap pakatan pembangkang tidak pernah mengambil kisah terhadap kerisauan rakyat apabila mereka terus-terusan menggunakan isu sensitif sebagai bahan provokasi politik.
“Tindakan pakatan pembangkang yang mengunakan isu-su sensitif seperti agama dan sentimen perkauman seakan sengaja dibuat untuk mewujudkan kekacauan atau sengaja mencabar pihak berkuasa dan kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab,” katanya.
Tegasnya, pembangkang menggunakan alasan demokrasi untuk membolehkan mereka lakukan apa-apa sahaja yang mereka suka biarpun jika difikirkan dalam logik akal tingkah mereka amat melampau.
“Kita tengok macam mana tindakan ADUN mereka yang sanggup meletak jawatan tanpa sebab yang rasional biarpun pilihan raya umum belum pun sampai setahun berlalu apatah lagi pelantikannya sebagai ADUN dipilih oleh rakyat.”
Dalam hal ini beliau mengaitkan dengan tindakan wakil rakyat PKR Lee Chin Cheh yang meletak jawatan sebagai ADUN kawasan Kajang untuk memberi laluan kepada Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menduduki jawatan terbabit.
“Bagi pakatan pembangkang hal-hal sedemikian adalah perkara biasa kerana mereka tidak pernah memikirkan kehendak dan keperluan rakyat sebaliknya agenda mereka adalah untuk mendapat kuasa, pangkat dan kedudukan.”
Berkaitan dengan tindakan Anwar, ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, sememangnya Anwar sudah terkenal dengan sikapnya yang suka mewujudkan tipu daya kepada masyarakat sebagaimana janjinya pada 16 September 2008 untuk mengambil alih kerajaan dan menduduki jawatan Perdana Menteri Malaysia.
“Tapi nampaknya tipu daya tidak berhasil dan kemudian harapan untuk menjadi Perdana Menteri dilihat cukup susah maka apa yang dia nampak sekarang adalah jawatan selaku Menteri Besar Selangor.
“Lagi pula, jadi Menteri Besar di Selangor lebih besar gajinya berbanding dengan jawatan Perdana Menteri,” selorohnya berdasarkan gaji Perdana Menteri hanya sekitar RM22 ribu sedangkan Menteri Besar Selangor bergaji lebih RM29 ribu.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat agar dapat menilai apa yang berlaku dengan melakukan perbandingan antara pemimpin kerajaan dan pemimpin dalam pakatan pembangkang.
“Pakatan pembangkang ini sengaja menimbulkan perkara yang berkaitan dengan spekulasi dan pelbagai propaganda dengan tujuan untuk mengelirukan masyarakat lantas memperdaya mereka agar terperangkap dalam janji-janji manis yang tidak akan tertunai,” katanya lagi. 

No comments:

Post a Comment