Nuffnang Ads

Thursday, 16 January 2014

Kemudahan di pusat banjir tahap terbaik

Kemudahan diberi kerajaan Persekutuan kepada mangsa banjir di Kelantan berada pada tahap terbaik.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ia membuktikan kerajaan Pusat tidak pernah menganaktirikan rakyat negeri ini.

“Segala yang ada di pusat pemindahan banjir di sini menunjukkan kerajaan Pusat tidak pernah mengamalkan sikap dwi-standard terhadap rakyat Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Gelang Mas, di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JJP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha, Panglima 8 Briged, Datuk Mohamad Zaki Hamzah dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Md Noor Chik.

Menurutnya, oleh kerana negeri ini sering dilanda  banjir kerajaan Pusat membina ruang masak dan tandas yang lebih selesa untuk digunakan oleh mangsa.

Katanya, 12 pusat pemindahan di kawasan Pasir Mas dan Rantau Panjang telah menikmati kemudahan tersebut.

Dalam lawatan itu, Shahidan turut menyampaikan sumbangan peribadi berupa bantuan makanan kepada mangsa.

“Saya berpuas hati dengan agihan bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negara. Saya melihat ia berada pada tahap terbaik dan semua mangsa banjir menikmati bantuan tersebut,” katanya.

Katanya,  semua agensi  terlibat dengan  masalah banjir menjalankan tugas sebaik mungkin.

Pada sesi lawatan tersebut, Shahidan meluangkan masa hampir dua jam dengan melawat kawasan tempat memasak, tandas dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir seramai 208 orang di SK Gelang Mas.

No comments:

Post a Comment