Nuffnang Ads

Tuesday 28 January 2014

Kerajaan Laksana GST Bukan Kerana Dibebani Hutang – Ahmad Maslan

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata kerajaan mengambil keputusan melaksanakan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bukan disebabkan kerajaan dibebani hutang.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata kerajaan dapat membuat pembayaran hutang dengan baik setiap tahun melalui bajet tahunan.
“Masih terkawal lagi hutang negara kita ini. Hutang negara itu 97 peratus sumbernya dalam negara. Cuma tiga peratus sumber luar negara. Jadi, kita tidak tertakluk dan dijajah oleh negara lain. Hutang itu lebih kurang RM540 bilion.
“Kita bayar dengan baik tiap-tiap tahun, tidak ada masalah apa dan rakyat tidak akan dibebani dengan hutang ini kerana kerajaan membayar hutang ini melalui bajet tahunan,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan  seorang pegawai Kastam pada Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional di sini Isnin.
Sebelum mengemukakan soalan berkenaan, pegawai itu mengatakan bahawa beliau pernah diajukan soalan yang sama daripada orang ramai yang mendengar ceramahnya mengenai GST.
Beliau berkata kerajaan telah meletakkan siling hutang negara sebanyak 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan hutang negara pada masa ini masih pada tahap 53.7 peratus daripada KDNK.
Menurut Ahmad, kebanyakan negara mempunyai hutang sehingga 100 peratus daripada KDNKnya malah ada negara yang sehingga 200 peratus.
Mengenai soalan mengapa subsidi minyak terus meningkat, Ahmad berkata ia disebabkan peningkatan harga minyak di pasaran antarabangsa serta pertambahan jumlah kenderaan dalam negara.
Ahmad berkata semasa negara di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad,  harga minyak cuma US$40 setong dengan subsidi minyak pada ketika itu ialah RM2 bilion setahun berbanding RM2 bilion sebulan pada masa ini kerana harga minyak di pasaran meningkat kepada US$100 setong.
Mengenai rasionalisasi subsidi diesel dan petrol pula, Ahmad berkata langkah itu dilakukan untuk mengurangkan ketirisan dari segi pemberian subsidi agar manfaat subsidi benar-benar sampai kepada golongan sasar.
Katanya jumlah yang dapat dijimatkan melalui rasionalisasi subsidi itu disalurkan kepada golongan kepada golongan sasar dalam bentuk bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malayia (BR1M).
Ahmad juga menolak tohmahan kononnya ekonomi Malaysia dilanda kegawatan kerana ekonomi negara diunjurkan terus berkembang antara 5.0 peratus hingga 5.5 peratus tahun ini sedangkan takrif kegawatan ekonomi ialah pertumbuhan ekonomi yang negatif untuk dua suku berturut-turut.

No comments:

Post a Comment