Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak meminta Ketua Penerangan Pas Pusat, Mahfuz Omar agar tidak masuk campur dalam urusan anggota parti Barisan Nasional (BN) dan beliau sepatutnya menumpukan perhatian bagi menyelesaikan masalah dalaman Pakatan Pembangkang itu sendiri.
Menurut beliau, sebelum mencampuri urusan BN, Mahfuz sepatutnya lebih fokus kepada menyelesaikan masalah dalaman pakatan pembangkang di mana ketiga-tiga parti di dalam Pakatan Pembangkang juga kini dilanda masalah yang tidak putus-putus.
“Saya nasihatkan agar Mahfuz tak payah masuk campur dalam urusan BN dengan melontarkan cadangan yang tidak rasional seperti itu. Lebih baik beliau tumpukan tenaga dan usaha untuk memperbetulkan masalah dalaman pakatan yang melibatkan partinya sendiri, DAP dan PKR.
“Seperti yang kita sedia maklum, masalah dalaman antara ketiga-tiga parti yang bergabung di dalam pakatan juga masih belum selesai. Kita lihat bagaimana masalah PKR yang mana kepimpinannya tidak lagi dipercayai oleh ahli dan kepimpinan parti mereka sendiri, menyebabkan ramai pemimpin sudah mula keluar dari parti tersebut.
“Begitu juga dengan DAP yang menghadapi krisis hilang kepercayaan di kalangan kepimpinan dan ahli mereka sendiri khususnya berhubung dengan pemilihan CEC dan PAS pula hari ini, dilihat semakin lama semakin lemah dan sudah tersasar jauh daripada perjuangan asal mereka,” ujarnya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pas Pusat, Mahfuz Omar yang meminta agar ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) bersama ahli parlimen pembangkang melakukan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
Tambah Dr Salleh yang juga merupakan Speaker Dewan Undangan Negeri(DUN) Sabah, cadangan yang dilontarkan oleh Mahfuz itu cukup untuk memperlihatkan bahawa kepimpinan pakatan pembangkang hari ini lebih sibuk untuk mencari salah dan silap BN daripada mahu memperbaiki kelemahan dan kesilapan parti mereka sendiri.
“Kita tahu hari ini begitu banyak masalah yang melanda Pakatan Pembangkang, terutamanya yang melibatkan perhubungan antara ketiga-tiga parti yang dilihat kini bertembung dengan prinsip dan ideologi parti masing-masing.
“Sepatutnya kepimpinan pakatan pembangkang seperti beliau perlu mencari jalan untuk menyelesaikan masalah dalaman mereka yang kini semakin ketara dan tidak payah sibuk untuk masuk campur urusan parti orang lain.
“Tetapi inilah sikap pembangkang di negara ini.Mereka tidak pernah melihat kelemahan dan tidak mahu pula memperbaiki kesilapan mereka. Apa yang mereka tahu hanya untuk mencari cacat cela BN, seolah-olah pakatan mereka itu sempurna dan tidak bermasalah.
“Sedangkan kemelut masalah dalaman antara parti pembangkang sejak bermulanya gabungan mereka sehingga ke hari ini belum selesai, malah dilihat semakin kritikal sehingga menyebabkan ramai penyokong dan ahli mereka sendiri sudah hilang kepercayaan kepimpinan pakatan,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment