Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menganggap tindakan sekumpulan anggota pakatan pembangkang yang mengadakan demonstrasi di kedutaan Jepun hari ini sebagai tindakan yang tidak bijak dan terkeluar daripada norma-norma sebagai warganegara yang bertanggungjawab.
Dilaporkan, pakatan pembangkang yang diketuai oleh Ketua Angkatan Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin telah menghantar memorandum bantahan ke kedutaan Jepun sebagai tindak balas terhadap larangan Anwar Ibrahim memasuki negara itu dengan membabitkan peserta bantahan yang memegang poster bertulis ‘boikot barangan Jepun’ selain memijak poster yang mirip bendera Jepun dan membakarnya di hadapan kedutaan itu.
“Ini adalah satu perangai yang tidak seharusnya ada dalam kalangan masyarakat bertamadun dan tahu dengan undang-undang tambahan pula larangan untuk Anwar Ibrahim memasuki Jepun dibuat berdasarkan perundangan negara terbabit dan mana-mana pihak mesti mematuhinya,” katanya.
Jelas beliau, ternyata tindakan berdemo sedemikian adalah satu perbuatan yang sia-sia dan tentunya tidak akan mendatangkan kesan kepada perundangan dan dasar negara matahari terbit itu.
“Ini soal perundangan, soal dasar negara Jepun yang tiada kaitan dengan soal politik kita di sini dan tentunya ada sebab-sebabnya mereka berbuat demikian yang mana pihak terbabit perlu selidik secara mendalam kenapa dia dilarang,” katanya lagi.
Ujar beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, tindakan yang dilakukan oleh pakatan pembangkang ini adalah satu perbuatan sia-sia kerana banyak lagi perkara yang boleh mereka perjuangkan berbanding hanya membela ketua pembangkang mereka sendiri.
“Bukankah lebih elok jika Anwar Ibrahim menasihati para pengikutnya untuk berjuang kepada perkara-perkara yang lebih berfaedah daripada memperbodohkan diri dengan melakukan demonstrasi sedemikian.”
Difahamkan antara kandungan memorandum yang dihantar ke kedutaan Jepun adalah meminta kerajaan Jepun meminta maaf kepada Anwar ekoran larangan memasuki Jepun.
No comments:
Post a Comment