Nuffnang Ads

Wednesday 29 January 2014

Isu Ketegangan Kaum dan Agama Berpunca Daripada Tindak-Tanduk Pembangkang

Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin menyifatkan segala ketegangan berhubung isu kaum dan agama yang berlaku di dalam negara hari ini berpunca daripada kegagalan Kerajaan Negeri Selangor  menangani isu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap sebuah gereja baru-baru ini.
Menurut beliau, kegagalan kerajaan negeri dalam memperjelaskan serta menyelesaikan tindakan JAIS membuat serbuan merupakan punca segala ketegangan yang berlaku antara kaum dalam negara hari ini.
“Jadi saya tegaskan di sini bahawa segala ketegangan, kegilaan yang berlaku hari ini adalah berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri Selangor samada dalam usaha untuk menerangkan, memperjelaskan mahupun menyelesaikan tindakan JAIS menyerbu sebuah gereja baru-baru ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO Malaysia  di Menara Dato Onn, di sini hari ini.
Sekaligus, beliau turut menafikan dakwaan yang mengatakan bahawa segala ketegangan yang melibatkan isu agama dan kaum ini adalah berpunca daripada kelemahan kepimpinan kerajaan pusat.
“Berlakunya krisis kepimpinan yang begitu besar di Selangor hari ini merupakan rentetan isu serbuan tersebut yang mana ianya tidak dapat diselesaikan dengan baik dan terus berlaruatan, sehinggalah berlakunya  kemelut antara Tan Sri Khalid dan Azmin yang akhirnya Anwar diminta campur tangan untuk selamatkan kerajaan Selangor.
khairy-ketua-pemuda-mesyuarat-exco-januari-2014-pwtc
“Jadi segala ketegangan yang berlaku hari ini sebenarnya adalah kerana kelemahan pihak pembangkang yang berpunca daripada insiden tersebut, dan bukannya berpunca daripada kelemahan kerajaan pusat,”tegasnya.
Menurut beliau lagi, dalam isu berhubung kalimah Allah, Perdana Menteri telahpun menyatakan dengan jelas pendirian kerajaan berhubung  beberapa isu yang sensitif yang dibangkit selama ini yang merupakan pendekatan yang terbaik buat masa ini.
“Kita tidak boleh dilihat berat sebelah. Kita kena pastikan bahawa setiap rakyat, setiap kaum dan setiap agama diberikan pendekatan yang adil kepada mereka. Sepertimana dalam isu kalimah Allah, pendirian pemuda UMNO adalah jelas di mana kita menyokong bahawa kalimah Allah merupakan hak eksklusif umat Islam di negara ini.
“Tetapi dalam masa yang sama, kita menghormati keputusan kerajaan dalam penyelesaian 10 perkara dan setakat ini kami berpendapat bahawa itu adalah jalan penyelesaian yang terbaik,” ujarnya.
Menjawab soalan pemberita berhubung cadangan pihak pembangkang untuk mengadakan perbincangan nasional antara pihak pembangkang dan kerajaan, beliau secara tegas menolak sebarang usaha ke arah itu buat masa ini.
“Dulu Perdana Menteri kita pernah membuat tawaran kepada pembangkang sebaik saja PRU ke 13 tamat. Tetapi tawaran itu tidak diterima oleh pakatan kerana mereka terus mempertikaikan keputusan pilihanraya.
“Tetapi hari ini, setelah menerima keputusan pilihanraya, dan tidak dapat membuktikan segala tuduhan mereka seperti 40 ribu warga asing mengundi dan sebagainya, barulah mereka nak jadi hero, cadangkan perbincangan soal perpaduan.
“Segala ketegangan antara kaum dan agama yang berlaku hari ini adalah akibat kelemahan dan kegagalan kerajaan Selangor dan kepimpinan pembangkang menangani masalah ini dan bagi saya sebagai Ketua Pemuda, eloklah Selangor selesaikanlah isu ini dulu sebelum mereka meminta atau mencadangkan sebarang perbincangan berhubung perpaduan dengan kerajaan pusat.” tegasnya.

No comments:

Post a Comment