Nuffnang Ads

Tuesday, 28 January 2014

Pemuda UMNO Turut Bantu Kawal Kenaikan Harga Barang – Khairy

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar meminta seluruh tenaga Pemuda UMNO di negara ini sama-sama turun padang untuk membantu mengawal kenaikan harga barang.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata kenaikan harga barang bukan berpunca daripada kenaikan harga minyak sebagaimana dakwaan pembangkang tetapi juga pelbagai sebab lain termasuk faktor cuaca menyebabkan bekalan berkurangan dan juga sikap pemborong yang mahu mengaut untung berlebihan.
“Justeru setiap anggota pemuda perlu mendekati rakyat dan menceritakan apa sebenarnya yang berlaku agar masyarakat tidak terpengaruh dengan hasutan pembangkang,” kata beliau.
Khairy menyatakan demikian semasa berucap di hadapan pemimpin Pergerakan Pemuda UMNO cawangan seluruh Perlis di Dewan Sivik Arau dekat sini Isnin malam.
Sebelum itu beliau bersama kepimpinan Pemuda UMNO Perlis melawat pasar malam Jejawi dekat sini dan meninjau kedudukan harga barangan yang dijual di situ.
Khairy berharap anggota-anggota pergerakan itu melalui Skuad Pengguna Pemuda lebih kerap turun mendekati rakyat dalam menghadapi isu kenaikan harga barang agar UMNO dan kerajaan tidak terus dipersalahkan.
Mengenai perjuangan Pemuda UMNO, beliau meminta setiap anggota menyiapkan diri untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang mungkin akan lebih mencabar berbanding PRU13 kerana pembangkang akan bekerja lebih keras menarik pengundi luar bandar.
Sebelum itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perlis mahu semua pihak memahami konsep parti menguasai kerajaan, bukan sebaliknya.
Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Negeri Perlis, Syed Atief Syed Abu Bakar.

No comments:

Post a Comment