Nuffnang Ads

Thursday, 19 December 2013

Jangan Banyak Bermain Politik, Segerakan Muzakarah UMNO-Pas – Prof. Idris

Pensyarah di Fakulti Jabatan Usuluddin dan Falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Idris Zakaria meminta agar kepimpinan Pas agar menyegerakan usaha muzakarah bersama UMNO sepertimana yang disebut oleh Presiden Pas, Datuk Seri Haji Hadi Awang di dalam muktamar parti tersebut baru-baru ini.
Menurut beliau, isu perpaduan ini menjadi perhatian umat Islam di seluruh negara dan ia perlu secara serius dilaksanakan,  lantaran majoriti umat Islam di negara ini berharap agar usaha perpaduan ini dapat direalisasikan.
prof-dr-idris-zakaria-ukm-usuluddin-falsafah-universiti-malaysia
“Isu perpaduan sesama umat Islam yang melibatkan dua parti politik terbesar ini perlu dilaksanakan segera. Saya nasihatkan agar kita jangan terlalu banyak bermain politik.
“Ini adalah satu perkara yang serius, dan kita juga perlu secara serius untuk melaksanakannya. Ada masa kita melawak, maka kita boleh melawak, tetapi dalam hal ini, perlu ada usaha yang benar-benar serius bagi merealisasikan hal ini,” ujarnya di sini hari ini.
Beliau juga berpendapat, bahawa isu muzakarah ini senyap tanpa sebarang perkembangan adalah akibat tekanan dari segelintir pihak di dalam parti Pas yang tidak ingin melihat muzakarah antara UMNO dan Pas ini direalisasikan.
“Saya melihat bahawa Presiden Pas dalam ucapannya ketika berlangsung muktamar Pas berhubung isu  muzakarah ini, beliau benar-benar mahu muzkarah ini dilaksanakan.
“Namun dalam masa yang sama, saya berpendapat beliau mungkin dikawal oleh senario dalaman parti di mana ada segelintir pemimpin dan penyokong yang tidak senang melihat UMNO dan Pas berbincang satu meja mengenai isu umat Islam di negara ini,” jelasnya.
Beliau juga meminta agar Presiden Pas agar tidak tunduk kepada desakan minoriti di dalam partinya, sedangkan suara majoriti umat Islam yang berada di luar parti, baik UMNO atau Pas, benar-benar berhasrat untuk melihat usaha perpaduan dan muzakarah ini dapat direalisasikan.
“Saya minta agar Presiden Pas pedulikan kata-kata minoriti yang tidak mahu muzakarah antara UMNO dan Pas berlangsung demi kebaikan dan manfaat ummah.
“Dengarlah suara jutaan umat Islam di negara ini yang tidak berparti, yang mahu melihat kepimpinan Islam di dalam UMNO dan Pas bersatu suara dalam isu-isu yang melibatkan bangsa dan negara, terutamanya isu-isu yang berkaitan dengan agama,” tegasnya.
Selain itu, beliau juga berpandangan bahawa perlu ada campur tangan dari pihak ketiga dalam usaha untuk merealiasasikan muzakarah antara dua parti terbesar umat Melayu ini.
“Mungkin NGO, atau pun lebih tinggi lagi Majlis Raja-Raja atau Raja Muda yang ada di dalam negara perlu menjadi orang tengah, atau pihak ketiga supaya usaha muzakarah ini dapat dilaksanakan.
“Ada kemungkinan besar, jika terdapat campur tangan dari pihak ketiga, maka usaha untuk menjadikan muzakarah antara UMNO dan Pas akan  berhasil,” akhirinya.

No comments:

Post a Comment