Pendakwah Bebas Ustaz Toharudin Yaakob berharap isu muzakarah antara parti itu dengan UMNO yang dilontarkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada muktamar agung mereka yang lalu tidak hanya sekadar seperti lagu raya.
Menurut beliau amat malang jika perkara baik dan seruan Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w seolah-olah menjadi lagu raya yang berkumandang di corong-corong televisyen dan corong-corong radio pada bulan Ramadhan.
“Inilah yang saya ingin sebutkan…saya amat berharap perkara ini menjadi sesuatu yang realiti dan bukannya menjadi lagu raya semata-mata. Apakah lontaran sekadar menarik perhatian rakan atau sebaliknya.
“Kerja yang baik seperti ini demi kepentingan umat Islam. Tak bising dan tak kecoh pun tak apa…Buat sahaja sekadar yang termampu. Bukankah kerja satukan umat ini adalah kerja sepanjang masa.
“Lagi satu kedua-dua belah pihak perlulah berlapang dada.. Jangan letakkan syarat macam-macam kerana akhirnya kita bimbang syarat tersebut bakal menjadi penghalang kepada kerja yang baik ini,“ katanya di sini.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam muktamar parti itu baru-baru ini menyatakan kesediaan mereka untuk bermuzakarah dengan UMNO dalam usaha pelaksanaan pentadbiran berasaskan ajaran Islam di negara ini.
Hasrat Abdul Hadi itu disambut baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sambil menyifatkan UMNO bersikap terbuka dengan hasrat Pas tersebut, namun meminta penjelasan lanjut berhubung skop muzakarah dimaksudkan.
Mengulas lebih lanjut Ustaz Toharudin seterusnya menambah kisah silam antara kedua-dua parti tidak seharusnya berbangkit demi kepentingan semua pihak.
“Kalau nak cerita soal berbangkit… dulu bukankah Kelantan pernah melarang Qariah mereka daripada menyertai Tilawah Al-quran peringkat kebangsaan…Apa sebab dan apakah alasan pada waktu tersebut?
“Tetapi pada tahun lepas jika saya tidak silap bukankah mereka sudah pun ada wakil Qariah…Alhamdulillah…perkara baik dan benda yang kita anggap tidak mustahil boleh berlaku. Begitu juga hubungan mereka dengan DAP.
“Sebab itu bagi saya tidak ada sesuatu yang mustahil. Cumanya sepertimana yang saya sebutkan tadi soal ini janganlah jadi seperti lagu raya…minggu pertama puasa dah ada yang pasang lagu tersebut. Jangan jadi sedemikian rupa,” katanya.
No comments:
Post a Comment