Nuffnang Ads

Thursday, 19 December 2013

Tiada Cukai Pengeluaran Wang PRS Selepas Umur 55 Tahun – Ahmad Maslan

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan hari ini menegaskan kerajaan tidak akan mengenakan sebarang cukai terhadap pengeluaran wang Skim Persaraan Swasta (PRS) selepas mencapai umur persaraan 55 tahun.
Beliau berkata cukai pegangan sebanyak lapan peratus hanya dikenakan sekiranya pengeluaran dibuat sebelum umur 55 tahun dan ia bertujuan mengekang kecenderungan pencarum mengeluarkan simpanan mereka sebelum tiba tempohnya.
“Pengenalan PRS yang berkuat kuasa mulai Tahun Taksiran 2012 adalah untuk menggalakkan tabungan di kalangan rakyat selepas umur persaraan.
“Oleh itu, pengeluaran awal sebelum mencapai umur persaraan 55 tahun akan menyebabkan objektif asal untuk memastikan rakyat Malaysia mempunyai tabungan mencukupi ketika bersara tidak dapat dicapai,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Ahmad berkata demikian bagi menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa cukai sebanyak 25 peratus dikenakan kepada pencarum yang mengeluarkan wang PRS selepas umur 55 tahun.
Bagaimanapun katanya cukai pengeluaran awal PRS boleh dikecualikan dalam kes-kes tertentu antaranya membabitkan pencarum meninggal dunia, meninggalkan Malaysia untuk selamanya, disahkan menghidap penyakit serius atau kritikal, disahkan hilang upaya kekal atau disahkan menghidap ketidakstabilan mental.
Katanya, sehingga 31 Ogos lepas terdapat sebanyak 36,663 pencarum PRS dengan nilai caruman berjumlah RM147.3 juta.
Terdahulu dalam sesi soal jawab di Dewan Negara, Ahmad berkata rangka kerja dan struktur tadbir urus Syariah yang diamalkan institusi kewangan di negara ini banyak dicontohi negara luar antaranya Pakistan, Indonesia, Brunei dan Bahrain.
Katanya sistem kewangan Islam bukan sahaja berkembang pesat di negara ini dengan memenuhi keperluan pelanggan dari pelbagai lapisan masyarakat, malah turut mendapat kepercayaan masyarakat luar.
“Aspek pematuhan Syariah sentiasa dititikberatkan kerajaan bagi menyokong keyakinan umum terhadap sistem kewangan Islam di Malaysia,” katanya semasa menjawab soalan Senator Datuk Dr Johari Mat berhubung konsep kewangan Islam yang diamalkan oleh institusi kewangan di negara ini.
Ahmad berkata Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 mengandungi peruntukan jelas mengenai keperluan pematuhan Syariah dan pelaksanaan tadbir urus Syariah yang berkesan oleh institusi kewangan Islam.
Jelas beliau, bagi menyokong pelaksanaan sistem kewangan Islam yang kukuh, peranan Majlis Penasihat Syariah di peringkat Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jawatankuasa Syariah diperkasakan di setiap institusi kewangan Islam agar  setiap transaksi kewangan Islam melepasi piawaian pematuhan Syariah yang ditetapkan.

No comments:

Post a Comment