Nuffnang Ads

Wednesday, 25 December 2013

Tindakan tegas peniaga naik harga

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengenakan tindakan tegas terhadap peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan ketika gelombang kedua banjir berlaku.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kementerian melalui pegawai dan anggota penguat kuasa sentiasa menjalankan pemantauan bagi memastikan kawasan yang terlibat bencana alam itu tidak berlaku kenaikan harga barangan.

“Para peniaga sepatutnya tidak mengambil kesempatan terhadap mangsa banjir. Kita tidak mahu ada pihak mengaut keuntungan di atas kesukaran dihadapi penduduk yang terbabit dalam banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir pada Program Sayang Pengguna di sekitar daerah Pekan, semalam.

Menurutnya, setakat ini pihaknya belum ada menerima sebarang aduan berhubung kenaikan harga barangan di kawasan yang dilanda banjir baru-baru ini.

“Selain memantau kenaikan harga barangan keperluan ini, pihak kementerian juga bertanggungjawab memastikan bekalan barangan keperluan ini mencukupi,” katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa masalah bekalan barangan keperluan terputus ketika banjir baru-baru ini adalah disebabkan banyak jalan tidak dapat dilalui kenderaan akibat paras air terlalu tinggi.

“Masalah itu bukannya disebabkan kekurangan bekalan untuk diagihkan. Justeru, perkara itu dapat diatasi beberapa hari kemudian hasil kerjasama antara kementerian dan agensi berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta lebih banyak syarikat-syarikat besar tampil memberikan sumbangan bagi meringankan bebanan ditanggung mangsa banjir.

“Syarikat besar atau pasar raya boleh memperkenalkan inisiatif untuk meringankan bebanan mangsa banjir contohnya seperti jualan murah dan menyalurkan lima peratus daripada hasil jualan kepada mangsa banjir.

“Kita di pihak kementerian bersedia untuk membantu syarikat-syarikat yang sanggup untuk jalankan inisiatif ini dari segi publisiti,” katanya.

No comments:

Post a Comment