Pemuda BN Perak menyifatkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan tidak akan menjejaskan sokongan pengundi di bandar mahupun separa bandar.
Naib Ketuanya, Mustafar Rahadi berkata, biarpun kini kerajaan khususnya perdana menteri dikritik hebat berikutan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan itu, penyelesaian kepada isu berkenaan akan diatasi dalam masa terdekat.
Menurutnya, dalam tempoh empat tahun, Pemuda BN Negeri yakin kerajaan akan membantu rakyat menambah pendapatan.
“Jika kita lihat, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan tidaklah begitu keterlaluan dan ia sesuatu yang wajar.
“Bagaimanapun, kerajaan pastinya akan mengatasi masalah ini dengan memperkenalkan pelbagai insentif bagi membantu rakyat meningkatkan pendapatan sedia ada,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menyifatkan BN bakal berdepan kekalahan lebih teruk pada PRU14 di kawasan bandar dan separa bandar berikutan pelbagai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Mustafar berkata, pihaknya akan menggerakkan jentera untuk turun ke akar umbi bagi menjelaskan sebab kenaikan yang berlaku.
Katanya, persepsi buruk tentang kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sengaja disensasikan pembangkang yang sudah ketandusan isu.
“Kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya mengumumkan kenaikan atau pengurangan subsidi jika ia tidak memberi manfaat kepada rakyat.
“Sebaliknya, kerajaan sedang merancang sesuatu untuk membantu rakyat dalam menjana pendapatan,” katanya.
No comments:
Post a Comment