"Tangkap dalang dan penganjur himpunan guling kerajaan," kata Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.
Menurutnya, perhimpunan itu jelas bertentangan dengan lunas demokrasi di samping mengundang keresahan orang awam.
"Ini bukan kali pertama perhimpunan seperti itu. Jalan terbaik bagi mengekang tindakan yang menyusahkan rakyat ialah dengan menangkap dalang dan pihak penganjur.
“Kumpulan tersebut secara jelas mencabar kedaulatan undang-undang, memperlekehkan kredibiliti polis dan memilih cara yang cenderung kepada keganasan,” katanya yang dipetik dari blog Umno Cheras, hari ini.
Beliau menegaskan, pihak berkuasa tidak seharusnya berlembut dengan mana-mana kumpulan atau perancang perhimpunan haram yang ternyata melanggar undang-undang sedia ada.
"Dalangnya harus diheret ke muka pengadilan kerana cuba mencetuskan kebimbangan orang ramai terutama warga kota dan mengganggu-gugat ketenteraman awam.
“Walaupun setakat ini tidak dinyatakan siapa 'kepala' di sebalik perhimpunan tersebut tetapi ramai yang berpendapat pasti turut membabitkan pemimpin parti pembangkang.
“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, akan ada pemimpin parti pembangkang termasuk aktivis politik anti-kerajaan akan menyertai perhimpunan seperti itu,” dakwanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius poster mengajak rakyat menyertai himpunan tersebut yang dikesan tersebar menerusi portal berita dan laman sosial sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Beliau berkata, pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan jika siasatan mendapati kesahihan perkara tersebut termasuk menggunakan Seksyen 124 Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.
Pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Muhamad Azan Safar ditahan polis Isnin lalu namun dibebaskan semalam.
Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan jam 11.35 malam berhampiran sebuah restoran di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru.
“Dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 124B Kanun Keseksaan.
“Penahanan itu berikutan tindakan menghasut dan melakukan perbuatan mengguling kerajaan tanpa melalui sistem demokrasi di Kelab Sultan Sulaiman, Jumaat lalu,” katanya kepada media.
No comments:
Post a Comment