Nuffnang Ads

Wednesday, 12 March 2014

31,000 Yuan bantuan, bukan pampasan

Malaysia Airlines (MAS) menjelaskan bantuan kewangan berjumlah 31,000 yuan (US$5,000) bukannya pampasan tetapi bantuan wang tunai kepada waris penumpang penerbangan MH370 yang hilang sejak Sabtu lepas, untuk membeli barang keperluan harian.

Jurucakapnya, Ignatius Ong Ming Choy berkata, bantuan itu bagi meringankan beban waris berkenaan pada waktu sukar ketika ini.

"Kami telah memaklumkan kepada waris penumpang mengenai perkara ini petang tadi (semalam) dan kami sedang mencari kaedah untuk mengagihkan wang itu," katanya dalam sidang akhbar di Hotel Citic di Lapangan Terbang Beijing, semalam.

Mengenai ada waris enggan menerima wang itu kerana turut disertakan syarat tertentu dalam borang penerimaan, Ignatius berkata, MAS akan mengambil kira semua permintaan dan pandangan mereka.

"Kami akan memberikan maklum balas berhubungan perkara itu pagi esok (pagi ini)," katanya.

Menurutnya pihaknya akan mendapatkan bantuan peguam untuk meneliti dari segi undang-undang berhubung syarat dalam borang penerimaan itu berikutan rasa tidak puas hati keluarga dan menyerahkan semula borang itu kepada keluarga terbabit pagi ini.

Ignatius menambah, setakat ini, sebanyak 12 keluarga telah tiba di Kuala Lumpur dan mereka akan sentiasa diberikan maklumat dan perkembangan terkini mengenai operasi mencari pesawat itu.

No comments:

Post a Comment