Nuffnang Ads

Friday 14 March 2014

MH370: Cubaan Putar Belit Pembangkang Sampai Buat Tuduhan Tak Rasional

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan menyelar sikap pembangkang yang menjadikan isu kehilangan kapal terbang MAS, MH370 sebagai satu polemik politik yang tidak rasional serta tidak menyumbang sebarang kebaikan kepada usaha pencarian yang diusahakan oleh kerajaan dengan bantuan beberapa negara lain.
Beliau meluahkan rasa sedihnya apabila di dalam parlimen juga dibangkitkan isu ini dengan ucapan-ucapan daripada Ketua Pembangkang yang telah mempertikaikan kewibawaan kerajaan dalam menangani isu MH370 ini.
“Ketua Pembangkang di dalam dewan parlimen cuba untuk menyamakan insiden ini dengan kejadian rampasan oleh tentera merah Jepun yang berlaku sekitar tahun 70-an dulu. Dan saya terpaksa bangun untuk mempertahankan kerajaan dengan mengatakan kepada beliau bahawa itu adalah satu contoh yang tak betul.
“Ini disebabkan di dalam rampasan kuasa itu sudah tentu kita tahu bangunannya di mana, dan kita tahu siapa yang menjadi penjenayah dan dalam tragedi itu kita tahu segala-galanya. Tetapi dalam kes kehilangan kapal terbang ini, kita sudah cuba yang terbaik. Kita tidak mempunyai maklumat yang cukup mantap untuk menentukan di mana kedudukan kapal terbang tersebut.
“Saya kira sekiranya beliau sendiri menjadi Menteri Pengangkutan, beliau tidak akan mampu untuk memberikan apa yang lebih daripada apa yang telah diberitahu oleh kerajaan sekarang ini. Kita mempunyai kekangan daripada segi informasi,” ujarnya.
Katanya lagi, isu ini telah menjadikan negara menjadi tumpuan di mata dunia lantara itu beliau merasa kesal dengan sikap Ketua Pembangkang di mana Anwar sanggup bersekongkol dengan beberapa pihak di luar sana yang ingin memperlekehkan kerajaan kita.
“Dalam keadaan dan suasana yang begitu susah untuk mendapatkan maklumat bagi insiden tersebut dan kita tidak tahu apa yang berlaku, beliau sanggup menggunakan perkara itu untuk mengkritik kerajaan.
“Apabila kita kata jangan berbuat demikian, kita tunggu sampai bangkai kapal terbang itu dijumpai, tapi beliau memutar belitkan dengan mengatakan kononnnya ini adalah sekatan politik kepada beliau.
“Inilah yang menjadi permasalahan kepada kita bilamana kita mahukan pihak pembangkang bersama dengan rakyat yang inginkan satu penyelesaian yang cepat dalam isu ini dan janganlah sanggup bersekongkol dengan pihak-pihak yang ingin memperlekehkan kita,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment