Walaupun tidak disahkan, ia mungkin pesawat MH370 yang melakukan air turn back atau berpatah balik selepas memasuki ruang udara Laut China Selatan sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Rodzali Daud, bagaimanapun berkata plot (titik) pada radar itu tidak semestinya pesawat MH370.
“Saya tidak katakan ini MH370, ini adalah plot yang tidak dikenal pasti oleh radar. Kita kini sedang menganalisis kemungkinan ini dengan memeriksa data radar tentera dan penerbangan awam menerusi kerjasama dengan FAA serta NTSB.
Sebab itu kita perluaskan carian merangkumi Selat Melaka,” katanya.
Teliti semula
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkefli Mohd Zin, berkata pihaknya meneliti semula apa yang berlaku dan jika ada isyarat kecemasan, maka radar tentera akan dirujuk bagi mengesahkannya.
“Ada kemungkinan pesawat ini berpatah balik tapi kita tak pasti ia pesawat yang sama. Kita kerjasama dengan radar awam di Kota Bharu, Kelantan. Kami tak pasti tetapi saya mengambil tanggungjawab.
“Jika saya tak hantar aset, jika senario ini berlaku, saya menghubungi menteri (Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein). Saya nak hantar aset kami pada malam itu kerana kami syak pesawat itu berada di sana.
“Kami hantar pesawat C-130 untuk meninjau kawasan itu. Saya mesti bertindak balas bagi penumpang MH370. Kita tak kesan dalam masa sebenar tapi kita lihat rakaman radar dan perlu bertindak,” katanya.
Ditanya kenapa pihak tentera tidak menghantar jet pejuang bagi meninjau plot yang tidak dikenal pasti pada radar, Zulkefli berkata, bacaan radar menunjukkan ia di laluan pesawat komersial dan bukan pesawat yang mengancam sehingga memerlukan tindakan ketenteraan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Vietnam, Pham Quy Tieu yang dipetik agensi berita antarabangsa, berkata pihaknya mengesan pesawat MH370 berpatah balik ke arah barat.
Beliau berkata, ada bertanya dua kali kepada pihak Malaysia tetapi tidak dijawab.
No comments:
Post a Comment