Nuffnang Ads

Tuesday, 25 March 2014

Kebebasan, Demokrasi Semakin Difahami Rakyat – Tun Musa Hitam

Kebebasan dan demokrasi di negara ini dilihat masih diterima dan semakin difahami rakyat, kata bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam.
Musa berkata buktinya setiap individu dan kumpulan menggunakan demokrasi dan kebebasan dalam setiap tindakan mereka yang menjadikan ia subur di negara ini.
“Lebih-lebih lagi dengan adanya demokrasi digital ia digunakan oleh golongan kelas pertengahan yang besar dan terpelajar berbanding zaman saya dahulu yang hanya dilihat sebagai satu bahagian kecil dalam masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Dalam Radar’ terbitan Bernama Radio 24 di Wisma Bernama di sini, hari ini.
Musa berkata sehubungan itu, pemimpin kini perlu telus dan bermaklumat dalam mengeluarkan idea serta bersedia menerima segala cadangan atau kritikan daripada rakyat.
“Sebab itu kenapa pemimpin perlu telus, mesti bersedia dan mesti mampu menyuarakannya, kalau merepek habislah demokrasi kita,” katanya.
Dalam program berkenaan, Musa yang pernah menjadi Menteri Pelajaran (1978-1981) juga menekankan mengenai kualiti yang perlu dimiliki pelajar selain mengekalkan kecemerlangan akademik.
“Saya berpandangan mereka harus terima bahawa pendidikan meliputi keseluruhan. Mereka harus hadapi realiti dunia, berfikiran luas, pandai bergaul dan menanam sikap keyakinan diri yang tinggi terutamanya di kalangan pelajar Melayu,” katanya.
Dalam pada itu, Musa yang juga Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) berkata persidangan WIEF kali ke-10 tahun ini akan diadakan di Dubai pada 28 hingga 30 Okt depan.
“Lokasi Dubai sebagai tempat persidangan WIEF ke-10 merupakan satu galakan kepada WIEF sendiri setelah penganjuran WIEF ke-9 tahun lalu di London mendapat sambutan menggalakkan.
Fokus WIEF ke-10 kali ini masih belum dipastikan, namun ia akan berasaskan kepada maklum balas persidangan di London dan juga mengambil kira kehendak hos (Dubai) yang bercadang menjadi pusat ekonomi Islam sedunia,” katanya.
WIEF yang ditubuhkan pada 6 Mac, 2006, menyasarkan untuk meningkatkan kebajikan ekonomi masyarakat dan negara Islam di seluruh dunia dengan meningkatkan dagangan dan peluang perniagaan sesama mereka selain di dunia.
Pada edisi ke-9 forum itu di London tahun lepas, WIEF menerima perakuan global apabila berjaya menarik 2,800 perwakilan dari 128 negara.

No comments:

Post a Comment