Kerajaan negeri Kelantan sewajarnya mengakui ketidakmampuan mereka melaksanakan program pembangunan dan sepatutnya bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk merealisasikan hasrat berkenaan.
Ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) berkata sejak Kelantan diperintah Pas pada 1990, lebih 30 batu asas projek pembangunan yang kononnya akan dilaksanakan kerajaan negeri, namun hanya menjadi “batu tanda” semata-mata.
“Mereka patut menyalahkan diri sendiri sebelum meletakkan kesalahan itu di tangan orang lain,” katanya dalam sesi perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Kelantan Sultan Muhammad V semasa merasmikan istiadat pembukaan Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Ke-13 semalam, di sini, hari ini.
“Kita kecewa persidangan dewan ini dijadikan medan untuk menyalahkan kerajaan Persekutuan sedangkan kesalahan diri sendiri tidak nampak. Sepatutnya kita sama-sama bekerjasama,” katanya.
Nozula berkata adalah sesuatu yang menyedihkan apabila kerajaan Persekutuan sering kali dikatakan zalim tetapi pada masa yang sama bantuan kerajaan Persekutuan yang telah membangunkan negeri ini.
Katanya kerajaan negeri sepatutnya tidak berjanji untuk melaksanakan projek-projek mega seperti Lebuh Raya Kota Baharu-Kuala Krai kerana sudah pasti projek itu sukar untuk dilaksanakan.
“Ini ibarat mahu beristeri dua tetapi pada hakikatnya dia tidak mampu untuk berbuat demikan, mana projek pelabuhan darat? Mana projek (kambing) Jamnapari? Mana dia?,” katanya.
Beliau berkata slogan Membangun Bersama Islam sebenarnya hanya slogan semata-mata dan rakyat terpengaruh yang kononnya mereka akan dibela dengan slogan berkenaan namun hakikatnya mereka tidak dipedulikan dan diberi janji-janji kosong.
Menyentuh isu penerokaan berleluasa berhampiran Taman Negara Kuala Koh di Gua Musang, Nozula meminta kerajaan negeri mesti menangani keadaan itu agar taman negara berkenaan tidak terusik dengan segala bentuk pembangunan yang tidak menguntungkan.
“Ingatlah yang rugi nanti adalah anak cucu kita. Nak membina apa yang kita ada dan mengekalkan kelestarian alam sekitar mengambil masa yang sangat lama dan bukannya dirosakkan begitu sahaja,” katanya.
Sementara itu, Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) yang berbahas sebelum itu berang seketika apabila wakil kerajaan negeri mengambil kesempatan menghentam kerajaan Persekutuan.
“Sepatutnya kita di dewan ini bertujuan mengaudit apa yang telah kerajaan negeri lakukan. Tanya kepada kerajaan negeri sudahkah mereka melaksanakan manifesto pilihan raya atau sebagainya,” katanya.
Persidangan bersambung esok.
No comments:
Post a Comment