Kadar pertumbuhan penduduk di negara ini dijangka menurun kepada 1.0 peratus untuk tempoh tahun 2020 hingga 2030, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Ini berikutan kadar kesuburan mencatat penurunan daripada 3.0 orang anak pada tahun 2000 kepada 2.1 pada 2012, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun, katanya menjawab soalan Dr Azman Ismail (PKR-Kuala Kedah) pada Persidangan Dewan Rakyat di sini.
Azizah berkata penurunan kadar kesuburan juga menyebabkan peratusan warga emas iaitu penduduk yang berumur 60 tahun ke atas semakin meningkat dan diunjurkan bahawa Malaysia akan menjadi sebuah negara menua pada tahun 2030 apabila 15 peratus daripada jumlah penduduknya terdiri daripada warga emas.
Bagaimanapun, beliau berkata penurunan kadar kesuburan ini tidak akan menghalang usaha kerajaan mencapai status negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020.
“Statistik Jabatan Perangkaan mendapati peratusan tenaga buruh (15-59 tahun) pada tahun 2010 adalah sebanyak 64.7 peratus dan angka ini dijangka terus meningkat kepada 65.4 peratus pada tahun 2020.
“Justeru, negara dijangka mempunyai tenaga buruh yang mencukupi bagi memenuhi permintaan pasaran tenaga buruh dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata dengan penduduk yang bekerja pada masa kini secara umumnya lebih berpendidikan, kurang tanggungan anak akibat penurunan kadar kesuburan dan mempunyai jangka hayat yang lebih lama, mereka dapat menyumbang ke arah peningkatan pendapatan per kapita negara.
“Sumbangan ini mampu memacu negara untuk mencapai status Negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020,” katanya.
No comments:
Post a Comment